Sabah Mahu PdPR Guna Nota Bertulis Disegerakan Untuk Murid Tiada Peranti

masidi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menasihatkan Jabatan Pendidikan negeri supaya segera melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan modul bercetak untuk murid dan pelajar yang tiada peranti serta liputan internet.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata langkah itu bagi memastikan tiada murid dan pelajar di negeri ini yang tercicir sepanjang pelaksanaan PdPR.

“Sebagai langkah segera, kerajaan negeri menasihatkan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah melaksanakan pembelajaran seperti yang dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

“PdPR bagi pelajar yang tidak mempunyai liputan internet dan tidak mempunyai peranti hendaklah diteruskan dengan nota pembelajaran dicetak dan disampaikan kepada pelajar,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan akan membuat penilaian mengenai jumlah murid dan pelajar yang layak diberikan peranti bagi membantu mereka mengikuti PdPR secara dalam talian.

Bagaimanapun, katanya keberkesanan bantuan itu juga tertakluk kepada capaian internet di kawasan murid dan pelajar, memandangkan masih banyak lokasi di negeri ini tidak menerima liputan internet yang baik.

“Dalam mesyuarat Kabinet negeri hari ini, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor mengarahkan EXCO Pendidikan, Datuk Mohd Ariffin Arif untuk berhubung segera dengan Jabatan Pendidikan negeri bagi menentukan jumlah murid dan pelajar yang layak diberikan bantuan peranti,” katanya.

Hajiji sebelum ini menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk menimbangkan bantuan peranti kepada murid dan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di Sabah supaya mereka dapat mengikuti PdPR secara dalam talian.

Mengulas mengenai bantuan peranti disalurkan Ustaz Ebit Lew, iaitu antara paling awal tampil membantu ibu bapa di negeri ini, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata, kerajaan negeri berterima kasih dan mengalu-alukan bantuan sesiapa sahaja.

“Bagi saya tidak timbul soal siapa menghantar dulu bantuan kerana masing-masing ada asas sendiri dalam melaksanakan program bantuan kepada rakyat.

“Kita sedia maklum, bantuan kerajaan perlu melalui proses tertentu untuk mendapatkan kewangan sedangkan bagi individu atau syarikat mereka boleh pada bila-bila masa melakukannya kerana duit yang digunakan milik mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata kerajaan tidak mengeluarkan arahan supaya ibu bapa di negeri ini diwajibkan membawa anak menjalani saringan sebelum sesi persekolahan bermula.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top