KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meluluskan RM160 juta Bantuan Prihatin Covid-19 untuk membantu semua lapisan masyarakat yang terjejas akibat pandemik itu, kata ketua menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Ia adalah tambahan kepada pakej bantuan berjumlah RM50 juta diluluskan kerajaan negeri awal bulan ini.
Dana itu akan disalurkan kepada pelbagai kementerian dalam bentuk bantuan kewangan dan ia akan memanfaatkan mereka yang bekerja dalam sektor pertanian, pelancongan (pemandu pelancong, porter, penyelam) dan pengangkutan (teksi, bas, lori) selain penjaja, anak yatim dan ibu tunggal.
Hajiji yang juga Adun Sulaman berkata, RM1 juta daripada dana itu akan disalurkan kepada univerisiti untuk membantu mahasiswa yang terkesan dengan wabak berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Sabah bagi membincangkan langkah pemulihan ekonomi negeri.
Beliau berkata, ahli majlis itu akan diumumkan dalam masa terdekat dan ia terdiri daripada pemimpin industri, peniaga, NGO dan ahli akademik.