Sabah Layak Ke Fasa 3 PPN Pada 18 Okt

masidi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah layak beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 18 Oktober ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengumumkan ini dalam ciapan di Twitternya semalam.

Sementara itu, Sabah mencatatkan 720 kes baharu Covid-19 semalam, naik 29 kes berbanding  hari sebelumnya(691).

“Seperti yang diramal, kes harian akan melalui trend ‘yo-yo’ dalam masa terdekat. Setelah turun 60 kes kelmarin, hari ini kes keseluruhan Sabah naik 29 kes,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.

Katanya, walaupun kes kumulatif Negeri Sabah naik semalam, namun jumlah daerah yang mencatatkan penurunan kes adalah lebih banyak berbanding daerah yang mencatatkan peningkatan kes.

“Jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan ialah 11 daerah dan yang merekodkan penurunan sebanyak 16 daerah.

“Seluruh bandar-bandar utama juga mencatatkan penurunan kes kecuali Putatan dan Kudat, yang masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak 29 kes dan 28 kes berbanding semalam.

“Sungguhpun demikian, hanya 4 daerah yang mencatatkan penurunan pada julat 2 angka iaitu Ranau (-41 kes), Pitas (-41), Kota Kinabalu (-11) dan Kunak (-10).

“Daerah yang mencatatkan peningkatan kes yang agak ketara ialah Kinabatangan (+40), Keningau (+23), Tenom (+13) dan Beaufort (+10).

“Walaupun agak sukar untuk meramalkan trend perubahan kes bagi daerah-daerah di Sabah dalam masa terdekat, namun, trend kumulatif jangkitan dalam tempoh 14 hari menampakkan trend pelandaian,” kata Masidi.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top