Sabah Laksana Projek RAVO Bagi Percepat 80% Vaksinasi Lengkap Dewasa

projek-ravo.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaksanakan projek Penilaian Pantas dan Operasi Vaksinasi (RAVO) dalam usaha memperhebat vaksinasi Covid-19 secara ‘outreach’ di negeri ini yang belum mencapai 80% vaksinasi lengkap penduduk dewasa.

Pengarahnya Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata 25 kakitangan JKNS digerakkan termasuk lawatan rumah ke rumah, bagi menjalankan projek RAVO itu dengan bantuan pejabat kesihatan daerah, agensi kerajaan dan wakil rakyat.

“Kita mulakan RAVO di Sandakan yang terdapat 151,200 individu dewasa belum menerima vaksin.

“Selepas Sandakan, projek RAVO ini akan ke daerah-daerah yang belum mencapai tahap vaksinasi memuaskan seperti Tawau, Kinabatangan, Tongod, Nabawan, Keningau, Papar, Lahad Datu dan Kota Belud,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek RAVO di Kampung Forest, di sini.

Mengulas mengenai kadar vaksinasi di Sabah, Rose Nani, berkata setakat Rabu lalu, lebih 2.25 juta dewasa atau 72.9% sudah menerima satu dos vaksin, manakala 1.75 juta atau 63.3% sudah melengkapi dua dos.

Sementara 289,615 remaja sudah menerima satu dos vaksin, manakala 3,162 remaja menerima dos lengkap dan sedang menunggu lengkap interval selama 21 hari.

Sementara itu, Dr Rose Nani berkata beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di Sabah akan ditutup secara berperingkat dengan hanya 13 PPV terpilih dilanjutkan operasi di seluruh negeri untuk memenuhi suntikan dos kedua sebanyak kira-kira 289,000 dos.- BERNAMA

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top