Sabah kutip RM6.22 bilion cukai jualan minyak sawit mentah sejak 2018

minyak-sawit.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah mengutip RM6.22 bilion cukai jualan negeri (CJN) ke atas minyak sawit mentah bagi tempoh lima tahun sejak 2018.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata ia adalah antara sumber hasil utama kewangan Sabah dengan sumbangan 22 peratus pada tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM845.36 juta direkodkan pada 2018, diikuti RM789.58 juta (2019), RM919.15 juta (2020), RM1.35 bilion (2021) dan RM1.56 bilion pada tahun lalu.

“Bagi tahun ini pula, iaitu sehingga Julai lalu, sebanyak RM739.53 juta CJN ke atas minyak sawit mentah berjaya dikutip.

“Bagaimanapun, prestasi pungutan cukai ini amat bergantung kepada perubahan persekitaran ekonomi dan pasaran global.

“Penentuan harga dan pengeluaran minyak sawit mentah juga adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri. Oleh itu, dapat dilihat perubahan ke atas prestasi pungutan cukai ini setiap tahun,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kelmarin.

Beliau menjawab soalan Justin Wong Yung Bin (WARISAN-Sri Tanjong) berhubung prestasi kutipan CJN minyak sawit mentah di Sabah.

Sementara itu, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata pertumbuhan pesat ekonomi Indonesia dan sektor perladangan kelapa sawit di Kalimantan menyebabkan ramai pekerja dari negara jiran itu meninggalkan ladang kelapa sawit di negara ini.

Beliau berkata, situasi itu memberi kesan kepada syarikat perladangan di Malaysia yang kini berdepan masalah kekurangan tenaga kerja hingga menjejaskan operasi ladang.

Katanya, isu itu turut dialami di Sabah berikutan ramai pekerja ladang dari Indonesia mahu kembali ke negara asal, khususnya ke Kalimantan berikutan tawaran gaji yang hampir sama di sana.

Isu berkenaan, katanya sukar ditangani kerajaan negeri kerana penyediaan tenaga kerja asing untuk memenuhi keperluan sektor perladangan di luar bidang kuasanya.

“Soal pekerja cukup atau tidak bukan dikawal Kerajaan Negeri, bukan tugas Kerajaan Negeri memastikan pekerja cukup, ia adalah tanggungjawab agensi lain.

“Namun, masalah kurang pekerja ini bukan di Sabah saja, di Semenanjung juga begitu. Antara sebabnya ialah ekonomi Indonesia semakin maju dan berlaku pembukaan banyak estet besar contohnya di Kalimantan yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia juga.

“Ramai pekerja Indonesia ingin balik kerana gaji di sana (Kalimantan) juga tidak banyak beza berbanding gaji di sini,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Justin berhubung usaha Kerajaan Negeri membantu mengatasi isu kekurangan pekerja ladang kelapa sawit di Sabah. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top