Sabah Kutip RM19.25 Bilion Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah

minyak-sawit.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengutip RM19.25 bilion cukai jualan negeri bagi pengeluaran minyak sawit mentah yang dikenakan terhadap industri kelapa sawit sejak cukai itu diperkenalkan pada 1999.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tan Lee Fatt, berkata jumlah itu direkodkan selama 23 tahun iaitu sehingga tahun lalu.

Katanya, bagi tahun lalu sahaja, kerajaan negeri mengutip RM1.57 bilion cukai jualan negeri minyak sawit mentah, menjadikannya antara penyumbang utama hasil negeri.

“Tahun lalu, cukai jualan negeri minyak sawit mentah menyumbang hampir 23 peratus kepada hasil negeri. Oleh itu, kutipan cukai berkenaan adalah sumber pendapatan negeri yang amat penting.

“Sumber kewangan ini memberi sumbangan yang sangat signifikan dalam menyokong agenda belanjawan negeri terutama dalam membiayai pelbagai pembangunan fizikal dan infrastruktur, ekonomi dan sosial untuk kesejahteraan rakyat.

“Justeru, kerajaan negeri berpendirian untuk mengekalkan cukai berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (WARISAN-Elopura) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai percukaian industri kelapa sawit di Sabah.

Dalam hal berkaitan, Lee Fatt berkata, ketika ini sebanyak 132 kilang pemprosesan kelapa sawit dan 14 kilang penapis beroperasi di Sabah ketika ini dengan kebanyakannya beroperasi di Sandakan.

“Daerah Sandakan khususnya mempunyai jumlah kilang terbanyak di negeri ini iaitu 66 kilang pemprosesan dan empat kilang penapis, manakala Keningau mempunyai empat kilang pemprosesan,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, sektor perkilangan kelapa sawit memberi pekerjaan kepada 5,869 pekerja di kilang pemprosesan dan 631 pekerja di kilang penapis.

Daripada jumlah itu, katanya, warga tempatan memenuhi sebanyak 1,789 pekerjaan atau 30.4 peratus di kilang pemprosesan dan 626 pekerjaan atau 98.9 peratus di kilang penapis. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top