Sabah kutip hasil RM6.973 bilion pada 2023, tertinggi dalam sejarah

hajiji-2.jpg

Hajiji berkata selain memperoleh hasil negeri tinggi, Sabah juga berjaya mencatat peningkatan pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM33 bilion selain daripada rekod dagangan antara tertinggi dalam sejarah RM118.1 bilion pada 2022. (Foto: BERNAMA)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah meneruskan momentum dalam menguruskan ekonomi seiring dengan komitmen dan semangat untuk menjayakan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) apabila merekodkan hasil kutipan negeri berjumlah RM6.973 bilion pada tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata jumlah itu menyaksikan Sabah berjaya mencatat rekod cemerlang dalam aspek kutipan hasil negeri tertinggi dalam sejarah selama tiga tahun berturut-turut, merekodkan hasil kutipan negeri berjumlah RM6.960 bilion pada 2022 dan RM5.449 bilion pada 2021.

“Kejayaan itu pasti didorong oleh kerja keras para penjawat awam yang telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang. Syabas kepada mereka yang sentiasa bekerja keras dan terima kasih kerana komitmen anda semua kerana menghasilkan kejayaan berterusan ini,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2024 di sini pada Isnin.

Selain memperoleh hasil negeri tinggi, Sabah juga berjaya mencatat peningkatan pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM33 bilion selain daripada rekod dagangan antara tertinggi dalam sejarah RM118.1 bilion pada 2022.

Beliau juga opitimis Sabah mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi sekitar empat peratus pada tahun 2024 dengan beberapa pencapaian dan prestasi ekonomi negeri yang positif dan semakin pulih,

Selepas hampir tiga tahun pelaksanaan Hala Tuju SMJ, aspirasi itu membawa Sabah ke landasan tepat untuk terus maju dan membangun menerusi petunjuk ekonomi yang memperlihatkan kejayaan serta mencerminkan kewibawaan dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai pembangunan industri minyak dan gas negeri itu, Hajiji berkata kerajaan negeri Sabah telah menubuhkan syarikat minyak dan gas sendiri pada 7 Disember 2021 iaitu SMJ Petroleum Sdn Bhd, kini dikenali sebagai SMJ Energy Sdn Bhd.

Setakat Disember tahun lepas, syarikat itu mempunyai lebih RM5 bilion aset, katanya.

Hajiji berkata SMJ Energy mempunyai pemerolehan aset pengeluar minyak dan gas yang menguntungkan dengan aliran tunai kukuh melalui 50 peratus faedah penyertaan dalam Samarang Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).

Syarikat berkenaan merekodkan penyertaan 25 peratus dalam loji petrokimia menerusi Sabah Ammonia and Urea Plant (SAMUR) di Sipitang; dan 10 peratus pegangan pemilikan dalam LNG9 dikendalikan dalam Kompleks LNG Bintulu selepas pemerolehan Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) pada November tahun lepas.

“Selain itu, kita (kerajaan negeri Sabah) turut memperoleh pegangan sebanyak 25 peratus dalam pembinaan kemudahan gas asli cecair terapung dikenali sebagai ZLNG di SOGIP, Sipitang.

“SMJ Energy telah berjaya menjual hasil minyak mentah sebanyak tiga kali iaitu pada Ogos 2023, Oktober 2023 dan Januari 2024 melalui 50 peratus kepentingannya di Samarang PSC kepada syarikat minyak antarabangsa dengan pendapatan kasar gabungan berjumlah kira-kira RM371 juta.

“Apa yang pasti, Insya-Allah, kita akan meneruskan usaha untuk mendapatkan lebih banyak kepentingan penyertaan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas),” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top