Sabah Kutip Hasil Hampir RM7 Bilion Tahun Lalu

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Kerajaan Sabah mengutip hasil hampir RM7 bilion sehingga 31 Disember lalu menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sepanjang 2022.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata hasil kutipan yang besar sejak merdeka itu membuktikan kerajaan negeri hari ini berjaya mengurus negeri ini dengan baik.

“Kita tidak hanya berpolitik berbanding pemimpin lain hanya pandai berpolitik dan mahu mendapatkan kedudukan serta jawatan. Saya tahu ada yang cuba ambil alih kerajaan dengan cara tidak betul.

“Namun, saya bersyukur kerana kita dapat menangani semua cubaan dan cabaran itu dengan adanya sokongan padu rakan-rakan daripada Pakatan Harapan (PH) serta sebahagian rakan daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Sokongan ini kerana mereka tahu kita mengurus kewangan negeri dengan baik,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Daerah Tuaran di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.

Hajiji berkata, sehingga 31 Disember lalu kerajaan negeri mengutip hasil sebanyak RM6.96 bilion.

Beliau yang juga ADUN Sulaman berkata, pendekatan mesra pelabur yang diamalkan kerajaan negeri turut menjadi pendorong kepada peningkatan kemasukan pelabur ke negeri ini.

“Kita membuka peluang seluas-luasnya kepada pelabur datang ke Sabah untuk mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, seterusnya pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Ini adalah antara usaha kita dalam memulihkan kembali ekonomi negeri yang terjejas selepas pandemik COVID-19 supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan baik serta makmur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kepada rakyat terutama kepada masyarakat Tionghua bahawa kerajaan hari ini akan terus melakukan yang terbaik melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya dengan memastikan rakyat mempunyai peluang dalam negeri mereka sendiri.

Hajiji turut melahirkan rasa gembira dengan kehadiran anggota masyarakat pelbagai bangsa dan agama untuk sama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina di Tuaran itu.-BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top