Sabah Kuat Kuasa Semula Larangan Rentas Daerah

PKP.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Larangan rentas daerah di Sabah akan dilaksanakan semula bermula 24 Mei ini bagi mengekang penularan COVID-19 berikutan peningkatan mendadak kes di negeri ini sejak tiga hari lalu.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata larangan itu diawalkan tiga hari berbanding jadual asal yang sepatutnya bermula 27 Mei. Tempoh penguatkuasaan larangan itu turut dilanjutkan hingga 7 Jun depan berbanding hingga 3 Jun yang diumumkan beliau pada akhir minggu lalu.

“Jumlah kes COVID-19 di Sabah merekodkan tiga angka sejak tiga hari lalu dengan bilangan masing-masing 160 kes (19 Mei), 245 kes (20 Mei) dan 144 kes pada hari ini (semalam). Susulan perkembangan itu, kerajaan negeri akan melaksanakan sekatan rentas daerah yang berkuat kuasa mulai 24 Mei sehingga 7 Jun depan, tertakluk kepada kajian semula.

“Pelaksanaan sekatan rentas daerah ini bertujuan mengawal pergerakan dan jangkitan antara daerah dalam kategori merah dan jingga ke daerah kategori hijau dan kuning,” katanya.

Ketika ini, Sabah hanya melaksanakan larangan rentas zon bermula 17 Mei lalu selepas seminggu larangan rentas daerah sepanjang sambutan Aidilfitri, bermula 10 Mei lalu.

Menerusi sekatan pergerakan mengikut zon, kerajaan negeri menetapkan enam zon di seluruh negeri yang dikenakan sekatan merentas, namun pergerakan antara dearah dalam zon yang sama dibenarkan.

Pelaksanaan larangan rentas daerah pula dikuatkuasakan di semua daerah seluruh negeri, kecuali Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang dikategorikan sebagai satu daerah.

Larangan rentas daerah selama dua minggu kali ini juga ada kaitan dengan kawalan pergerakan sempena sambutan Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai yang kemuncaknya dirayakan masyarakat Kadazandusun dan Murut pada 30 dan 31 Mei ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kebanyakan daripada 144 kes baharu COVID-19 di Sabah semalam dikesan menerusi kluster sedia ada dan saringan kontak rapat.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top