KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited untuk mengorak langkah dalam penerokaan khazanah laut dan maritim sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan Sabah dalam penerokaan Ekonomi Biru di peringkat antarabangsa.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, penganjuran Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang telah diadakan pada 19 hingga 20 Oktober 2024 dan dihadiri oleh seramai 3,398 peserta dari dalam dan luar negara sebagai platform untuk berinteraksi dan berkongsi ilmu pengetahuan global bersama pakar dalam bidang ini.
“Hasil daripada persidangan ini, Kerajaan Sabah akan merangka Sabah Blue Economic Framework sebagai hala tuju Kerajaan Sabah dalam pembangunan ekonomi berimpak tinggi ini.
“Usaha bersifat futuristik ini membuktikan bahawa kerajaan bukan hanya serius dalam membangunkan ekonomi masa kini, tetapi juga prihatin untuk menyediakan asas yang kuat bagi membina ekonomi masa depan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Jumaat.
Masidi berkata, setelah mengambil kira potensi hasil baharu yang bakal diperolehi daripada Ekonomi Biru ini, Kerajaan Sabah kini sedang menyusun gerak kerja yang lebih tersusun dan efektif.
Menurutnya, khazanah ini perlu ‘dipagar’ lebih awal dan ‘dipugar’ terlebih dahulu, sebelum kita dapat menuai hasilnya pada tahun akan datang.
“Kajian saintifik akan dilaksanakan bagi memastikan Kerajaan Sabah memperolehi data yang mencukupi, tepat dan komprehensif.
“Menyedari hakikat itu, kerjasama di antara pihak kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti setempat adalah diperlukan demi memastikan potensi Ekonomi Biru di negeri ini bukan sahaja dapat direalisasikan untuk generasi kontemporari, tetapi juga menyediakan landasan ekonomi yang kukuh untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu katanya, setakat Jun 2024, Sabah telah menerima pelaburan sebanyak RM1.7 bilion yang merangkumi pelaburan dalam dan luar negara di dalam Sektor Utama, Perkilangan dan Perkhidmatan.
Sepertimana yang telah diketahui katanya, Sabah telah menerima pelaburan Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dari Korea Selatan dan Kumpulan Kibing dari China dengan nilai pelaburan masing-masing berjumlah RM4.28 bilion dan RM2.48 bilion.
“Kedua-dua pelabur ini telah menghasilkan dan mengeksport produk mereka ke luar negara bermula pada hujung tahun 2023 bagi Syarikat SK Nexilis dan Kumpulan Kibing awal tahun ini.
“Usaha untuk membangunkan sektor perindustrian di negeri ini telah membuahkan hasil apabila sumbangan sektor pembuatan di dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah telah meningkat kepada RM6.03 bilion bersamaan 7.3 peratus pada 2023 berbanding RM5.78 bilion bersamaan 7.0 peratus pada 2022,” katanya.
Masidi berkata, kadar pertumbuhan bagi sektor pembuatan di Sabah pada 2023 adalah sebanyak 4.4 peratus mengatasi pertumbuhan purata sektor pembuatan nasional iaitu sebanyak 0.8 peratus, seterusnya menjadikan kadar pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah yang tertinggi di Malaysia.
Pada tahun ini katanya, Kumpulan Kibing melalui anak syarikatnya, SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd telah bersetuju untuk melabur kilang pembuatan kaca solar baharu dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM7.2 bilion melalui tiga fasa pelaburan.
“Pelaburan ini juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 rakyat di negeri ini.
“Pada masa yang sama, syarikat Kumpulan Kibing juga telah komited untuk meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dengan penambahan ‘third production line’.
“Anggaran nilai pelaburan tambahan adalah berjumlah RM700 juta sekali gus mewujudkan 600 tambahan peluang pekerjaan,” katanya.
–Yap Siong Han/Penerangan Gagasan Rakyat