PENAMPANG: Komitmen kerajaan Sabah dalam memelihara dan memulihara alam sekitar ditonjolkan menerusi tema Pesta Kaamatan tahun ini susulan pelbagai fenomena akibat perubahan iklim dunia ketika ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, banyak bencana alam berlaku akibat cuaca tidak menentu di seluruh dunia termasuk Malaysia yang turut mempengaruhi hasil pengeluaran makanan yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat.
Oleh itu beliau berharap tema “Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi” dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada semua lapisan masyarakat untuk memelihara dan memulihara alam semula jadi yang diwarisi generasi akan datang.
Untuk itu katanya, kerajaan Sabah menerusi belanjawan negeri 2022 memperuntukkan RM227.4 juta kepada sektor pelancongan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM131.93 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta jabatan dan agensi di bawahnya,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di sini semalam.
“Ini antara komitmen berterusan kerajaan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Inisiatif ini sebahagian daripada usaha untuk memastikan setiap komponen dalam mewujudkan kelestarian hijau dapat diberikan perhatian sewajarnya.”
Katanya, Sabah juga diberikan penghormatan selaku tuan rumah bagi acara Kongres Taman-taman Asia kedua yang diadakan di Kota Kinabalu minggu lalu anjuran bersama International Union for the Conservation of Nature (IUCN).
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Pesta Kaamatan yang diraikan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus bukan sahaja bertujuan melahirkan kesyukuran atas hasil tuaian baik, tetapi juga memberi peluang kepada saudara-mara berkumpul dan mengeratkan silaturahim. – FMT