Sabah Kini Alami Gelombang Covid-19 Yang Serius – JKNS

wad.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengakui Sabah kini sedang mengalami gelombang COVID-19 yang serius.

Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin, berkata berikutan itu beberapa hospital terpaksa mengambil langkah tambahan untuk meningkatkan kapasiti merawat pesakit COVID-19.

Beliau berkata, Hospital Duchess Of Kent, Sandakan antara yang mengambil langkah proaktif dengan membuka lebih banyak wad untuk menampung pesakit COVID-19 yang memerlukan oksigen.

“Sehubungan dengan itu, wad perempuan perubatan Hospital Duches Of Kent yang mempunyai 38 katil dijadikan wad COVID-19.

“Hospital berkenaan mempunyai 166 oksigen port dan 42 tangki oksigen yang mempunyai kapasiti 3,000 liter dan 6,000 liter.

“Selain itu, bagi menampung keperluan oksigen di hospital berkenaan, sebanyak 10 tangki oksigen dari Hospital Kinabatangan dan 20 tangki oksigen dari Hospital Beluran turut dihantar ke sana,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Sementara itu, Dr Rose Nani berkata Sabah sudah mencapai sasaran 40 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin COVID-19 sempena sambutan Hari Kebangsaan semalam, manakala 59.1 peratus penduduk menerima satu dos vaksin.

Bagaimanapun, katanya usaha masih diteruskan untuk memastikan semua penduduk dewasa di negeri ini mendapatkan suntikan vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan serius COVID-19.

“Berdasarkan data diperolehi JKNS, 80 peratus hingga 90 peratus pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah mereka yang belum divaksin.

“Sehubungan itu, untuk mengurangkan kadar kematian, setiap individu perlu menerima vaksin.

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, JKNS sentiasa menyeru semua penduduk Sabah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mendapatkan suntikan vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan serius COVID-19,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top