KOTA KINABALU: Dua belas produk asas tani dikenal pasti mampu untuk menonjolkan Sabah sebagai hab pelancongan luar bandar yang berkembang maju.
Produk-produk itu yang dipilih dengan teliti berdasarkan amalan lestarinya ialah Mount Kinabalu Coffee dan Sunduan Pisompuruan Everything Pineapple di Kota Belud; Tampakan Fish Farm dan Gombizau Honey Bee Farm di Kudat dan Saujana Hill di Kota Marudu.
Yang lain-lain ialah Irunji Agro Tourism di Lahad Datu; Sabah Agriculture Park, Padas Farmstay, Yong Farmstay, Yit Foh Tenom Coffee, dan Fatt Choi Coffee di Tenom serta Desa Cattle Dairy Farm di Ranau.
Produk-produk ini dikenal pasti oleh jawatankuasa pemandu bersama pelancongan luar bandar negeri melibatkan lima kementerian negeri.
Dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai, jawatankuasa itu terdiri daripada wakil daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar; Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan; Pembangunan Perindustrian; Pembangunan Luar Bandar; dan Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Ia bertujuan untuk memupuk kerjasama di kalangan kementerian dan memberi tumpuan kepada merangka strategi berkesan untuk meningkatkan keterlihatan produk pelancongan luar bandar Sabah dan meningkatkan pengalaman pengunjung secara keseluruhan.
Dalam mesyuarat terbaharunya jawatankuasa itu antara lain membincangkan langkah menangani keperluan infrastruktur seperti jalan raya dan inap desa tidak berlesen, khususnya di kawasan luar bandar.
Jawatankuasa itu menekankan kepentingan mempromosikan pilihan penginapan terkawal untuk menyediakan pelancong dengan pengalaman yang selamat dan tulen sambil memanfaatkan tuan rumah dan komuniti tempatan.
Bangkuai, yang juga pembantu menteri pelancongan negeri, menegaskan kejayaan agropelancongan bergantung kepada usaha bersepadu daripada semua kementerian yang terlibat, masing-masing memanfaatkan keupayaan uniknya untuk memperkasa masyarakat luar bandar dan mewujudkan peluang pertumbuhan yang mampan.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa Sabah, dengan sokongan bersatu kementerian, bersedia untuk berkongsi warisan pertaniannya yang kaya dengan dunia, mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan asas tani utama.
Untuk memastikan destinasi unik ini mendapat perhatian yang sewajarnya, jawatankuasa itu menyeru agar kemudahan dan infrastruktur jalan dipertingkat, memudahkan akses untuk pelawat tempatan dan antarabangsa.
“Perjalanan pelancongan asas tani Sabah kini telah menetapkan hala tujunya ke arah masa depan pertumbuhan mampan, pemeliharaan budaya, dan pemerkasaan masyarakat,” kata Bangkuai, dalam satu kenyataan di sini pada Selasa (25 Julai).
“Melalui usaha kerjasama dan perancangan rapi, Sabah sudah pasti akan berkembang sebagai destinasi yang luar biasa dan bertanggungjawab, memberikan pengunjung pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan memberi kesan positif kepada kehidupan masyarakat tempatan,” tambahnya.