Sabah Kena ‘Ratah’ Di Likas

bola-sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Hatrik Ifedayo Olusegun membantu Selangor berpesta gol di Stadium Likas, sebentar tadi selepas membelasah Sabah 6-0 dalam aksi Liga Super.

Malah, sumpahan bekas pemain Selangor Amri Yahyah yang menyatakan skuad Gergasi Merah tidak akan berjaya raih kemenangan pada perlawanan Liga Super menentang pasukan yang diwakili oleh pemain veteran itu tidak lagi terjadi, meskipun kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada pertemuan pusingan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, April lalu.

Lebih manis ayam tambatan Selangor itu turut mencipta rekod baharu penjaring terbanyak Liga Super dengan 25 gol sejak pertandingan tersebut diperkenalkan pada 2004 dengan memadam rekod milik bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan Mohammed Ghaddar (23 gol) pada 2017.

Bagaimanapun, perebutan kasut emas musim ini hanya akan diketahui pada perlawanan terakhir liga Ahad depan meskipun Ifedayo mempunyai kelebihan dua gol ke atas pencabar terdekatnya penyerang JDT Bergson da Silva (23 gol).

Dalam aksi tersebut, penyerang kelahiran Nigeria itu membuka tirai jaringan pada minit ke-28 selepas memanfaatkan kesilapan pemain tengah Sabah Azzizan Nordin yang melakukan hantaran ke belakang tepat kepada Ifedayo dalam kotak penalti dan dia mudah menyudahkan peluang tersebut.

Dua minit kemudian, Ifadayo sekali lagi menemui sentuhan penyudah selepas memanfaatkan umpanan Hein Htet Aung, sebelum tenang melakukan lambungan untuk menewaskan penjaga gol Sabah Robson Rendy buat kali kedua.

Sebelum memasuki bilik persalinan, giliran Mukhairi Ajmal Mahadi mencetak nama sebagai penjaring untuk mengukuhkan kedudukan Selangor 3-0.

Belum sempat Sabah mengatur langkah pada babak kedua, giliran Nor Hakim Hassan menambah derita The Rhinos sebaik sahaja perlawanan bersambung.

Minit ke-59 Sabah berpeluang mencipta gol namun tiang menjadi penghalang buat tuan rumah apabila dua kali rembatan Alto Linus dan Amri Yahyah sekadar menggegar tiang.

Pemain gantian Danial Asri menggandakan jaringan buat Red Giants sebelum Ifadayo mencipta hatrik dan juga gol ke-25 untuknya musim ini pada minit terakhir bagi mengesahkan kemenangan bergaya Selangor di Likas. – UTUSAN

 

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top