Sabah kekal pendirian, sempadan negeri dipelihara, tidak tergugat – Hajiji

CM-1.jpg

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor bersama Timbalannya Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam ketika hadir di Sesi Perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2024 pagi ini. Dewan Undangan Negeri Sabah bersidang hari kedua, semalam.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kekal dengan pendirian jelas, konsisten dan tidak akan berganjak dari apa juga cubaan negara jiran bagi memastikan persempadanan negara khususnya negeri Sabah sentiasa dipelihara dan tidak tergugat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Malaysia dan Indonesia komited untuk menyelesaikan persempadanan darat dan persempadanan laut wilayah secara menyeluruh.

Katanya, setakat ini tidak ada apa-apa persetujuan dibuat melalui platform-platform mesyuarat dua hala (bilateral meeting) yang berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.

Pada masa sama jelasnya, kerajaan negeri turut dilibatkan secara aktif dalam platform-platform mesyuarat dua hala berkenaan yang diketuai oleh Kementerian Luar Negeri.

Menurutnya, Kementerian Luar Negeri akan memastikan setiap perundingan atau cadangan-cadangan yang melibatkan persempadanan Sabah, Malaysia dan Indonesia dibentang dan dirujuk kepada jemaah menteri Sabah terlebih dahulu untuk mendapat asas perundingan, hala tuju dan ketetapan.

“Kerajaan Negeri tegas dengan pendirian bahawa persempadan negeri Sabah di Pulau Sebatik adalah di garisan sempadan memanjang sepanjang 4°10’ bermula dari ‘East Pillar’ sehingga ‘Low Water Line’ di sebelah timur Pulau Sebatik.

“Sempadan Maritim yang ditandatangani melalui Triti Laut Sulawesi hanya melibatkan 12 batu nautika dan tidak mendatangkan kerugian kepada Sabah.

“Selain itu, perundingan penetapan sempadan maritim bagi kawasan yang melebihi 12 batu nautika sehingga 200 batu nautika di Laut Sulawesi (dalam kawasan ND6 dan ND7) yang juga ‘Exclusive Economic Zone’ (EEZ) masih belum dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai rundingan dengan Indonesia berkaitan Pulau Sebatik di bawah Perjanjian Laut Sulawesi termasuk perkara yang dituntut oleh Indonesia dan sama ada perjanjian sudah dibuat atau masih dalam peringkat perundingan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Hajiji berkata, sempadan yang melibatkan Pulau Sebatik iaitu kawasan ‘Intertidal’ masih dalam rundingan. Sesi rundingan terkini melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas (STM) yang diadakan pada 16 dan 17 November lepas di Tangerang Indonesia diakhiri tanpa apa-apa perkembangan kerana kedua-dua pihak kekal dengan pendirian masing-masing.

Katanya, rundingan berkenaan diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim Kementerian Luar Negeri, manakala, kerajaan negeri diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Pengarah Tanah dan Ukur.

Dalam pada itu, Hajiji turut menegaskan kerajaan negeri tidak akan sewenangnya memberi hak Sabah dalam tuntutan melibatkan Perjanjian Laut Sulawesi.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa maklum dengan sebarang perkembangan dan kerajaan negeri tidak pernah bersetuju tentang tuntutan Indonesia di Laut Sulawasei atau Ambalat yang kaya khazanah seperti minyak dan gas.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top