Sabah kekal negeri pengeluar biji koko utama

koko-1.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah kekal menjadi negeri pengeluar biji koko utama di Malaysia dengan keluasan tanaman 3,444 hektar, mewakili 57.5 peratus daripada jumlah keluasan tanaman koko negara, sehingga akhir tahun lalu.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata bagi meningkatkan lagi pengeluaran komoditi itu di Sabah, Projek Pemulihan Kebun Koko akan dilaksanakan Lembaga Koko Malaysia (LKM) pada tahun ini.

Katanya, bagi tujuan itu, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi memulihkan 1,344 hektar kawasan tanaman koko sedia ada, yang diusahakan seramai 2,084 orang petani koko di negeri ini.

“Program ini adalah untuk meningkatkan hasil koko melalui insentif input pertanian dan menerapkan aplikasi teknologi terkini dalam pengurusan kebun koko,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan sulungnya ke Ibu Pejabat LKM, di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah; Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada, Cheah Chee Fong.

Selain pengeluaran biji koko, Foong Hin berkata LKM juga giat mengembangkan industri hiliran koko di Sabah dengan sebanyak empat syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko serta 32 usahawan coklat tempatan beroperasi setakat ini.

Bagaimanapun, nilai pengeluaran industri hiliran koko oleh usahawan di Sabah masih rendah iaitu hanya RM792,351 pada 2022, manakala RM851,928 bagi tempoh antara Januari hingga September 2023.

“Memandangkan nilai jualan industri hiliran masih rendah, kita berharap usaha berterusan LKM dapat membantu meningkatkan lagi hasil jualan usahawan dan menambah bilangan pengusaha koko di Malaysia melalui dasar dan projek yang dirancang,” katanya.

Foong Hin berkata industri koko mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bermula dari sektor huluan ke hiliran sejajar kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport utama produk koko dunia.

Katanya, koko juga adalah antara tanaman komoditi makanan yang menyumbang kepada pendapatan eksport negara.

“Pada 2022, perolehan daripada eksport koko adalah sebanyak RM7.82 bilion, manakala setakat Januari hingga November 2023, perolehan eksport koko adalah dianggarkan sebanyak RM7.4 bilion.

“Namun begitu, imbangan dagangan bagi industri koko pada 2022 hanya mencatat RM1.72 bilion dan RM20 juta pada antara Januari hingga November tahun lalu 2023 disebabkan kebergantungan import biji koko kering,” katanya. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top