TENOM: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menambah pemimpin peringkat kampung seperti jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).
Katanya, ia berikutan pertambahan jumlah kampung dan penduduk di negeri ini selain kali terakhir perkara itu dikaji pada awal 1980-an.
“Kajian semula mengenai keperluan menambah bilangan JKKK itu sudah dilakukan dan kementerian saya sedang memohon penambahan lantikan JKKK di Sabah.
“Kita juga sudah memberi cadangan jumlah penambahan ahli JKKK kepada KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) di peringkat pusat dan tindakan susulan akan dilakukan selepas kita mendapat jumlah diluluskan.
“Kita yakin permohonan tambahan itu akan diluluskan namun berapa jumlahnya, ia belum pasti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program sejahtera di Kampung Mantimug hari ini.
Sementara itu, ketika mengulas Belanjawan 2021 Sabah yang akan dibentangkan bulan ini, Jahid berkata pihaknya akan meneliti sektor mana yang perlu dilengkapkan jika ada kekurangan.
“Apa yang pasti tumpuan kerajaan negeri pada masa ini untuk mengawal selia suasana berdepan pandemik Covid-19 dan tindakan untuk memulihkan sosio ekonomi di negeri ini,” katanya.-FMT