Sabah Jual Kargo Minyak Mentah Pertama Daripada 50% Kepentingan Dalam PSC Samarang

minyak-mentah.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah telah menjual kargo minyak mentah pertamanya daripada 50 peratus kepentingan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang hari ini, ditandai dengan pengeluaran invois rasminya kepada pembeli minyak mentah, Shell International Eastern Trading Company (SIETCO).

Penyelesaian pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaannya dalam PSC Samarang pada 31 Mei 2023 telah membolehkan Sabah menjual minyak mentahnya iaitu haknya di Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) kepada SIETCO di bawah kontrak.

Jualan pertama dan seterusnya diunjurkan membawa hasil berterusan untuk Sabah sepanjang tempoh PSC Samarang.

PSC Samarang mempunyai tujuh medan pengeluaran minyak dan gas sedia ada iaitu Samarang, Samarang Kechil, Sumandak, Zuhal, Alab, Erb West dan Kinarut, dan dua terminal penerima gas di Kota Kinabalu dan Pulau Labuan, kata satu kenyataan media daripada SMJ Sdn Bhd.

PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) ialah pengendali PSC Samarang sejak 1995 dan telah menandatangani perjanjian tambahan PSC dengan PETRONAS pada 2018 untuk melanjutkan operasi PSC sehingga 31 Disember 2035.

Ini adalah satu lagi perkembangan penting selepas termeterainya Perjanjian Kolaboratif Komersial (CCA) antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah pada 7 Disember 2021.

Pada 25 April 2023, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCGB) untuk pengambilalihan 25 peratus kepentingan penyertaan dalam loji petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR). SMJSB juga telah menandatangani Surat Perjanjian Persefahaman (LoU) mengenai pengaturan pilihan back-in untuk PSC Blok SB409 yang memberikan entiti milik Negeri Sabah sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan setelah selesai komitmen kerja atau penemuan komersial, yang mana lebih awal.

Pada 31 Mei 2023, SMJSB telah menyelesaikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaan dalam PSC Samarang.

Sabah akan meneruskan usahanya untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan dalam industri minyak dan gas di Sabah. – WARTA ORIENTAL

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top