KOTA KINABALU : Sabah mempunyai beberapa kerjasama dan inisiatif dalam perkara berkaitan keselamatan, pelancongan dan perdagangan dengan Selatan Filipina dan Wilayah Kalimantan, Indonesia melalui platform BIMP-EAGA (Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines – East Asean Growth Area).
Menjelaskan mengenai perkara itu Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, di Serudong, Kalabakan, pembinaan jalan akses untuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Serudong sedang dalam pelaksanaan di mana kerja-kerja awalan penyediaan tapak CIQS dan pembinaan jalan konkrit dari CIQS ke batu sempadan A708 telah siap dilaksanakan.
Katanya, di Bantul Pagalungan, kerja-kerja awalan penyediaan tapak CIQS juga telah siap dilaksanakan.
“Kedua-dua projek ini adalah merupakan inisiatif penting dan akan menjadi pemangkin kepada pembukaan perhubungan darat di antara Sabah dan Kalimantan Utara,” katanya pada Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri yang Ke-16, kelmarin sebagai menjawab soalan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob.
Dr Yusof bertanya mengenai status perundingan isu seperti keselamatan, pelancongan dan perdagangan antara Sabah dengan Selatan Filipina dan Wilayah Indonesia di Kalimantan khususnya apabila ibu kota Indonesia dipindahkan ke Wilayah Kalimantan Timur.
Hajiji berkata, projek pembinaan CIQS di Pelabuhan Lahad Datu telah siap dilaksanakan pada pertengahan tahun lalu untuk menggiatkan lagi kerjasama dalam keselamatan, pelancongan dan perdagangan antara Sabah dengan Filipina dan Indonesia.
Menurutnya, dalam sektor pelancongan, negara-negara BIMP-EAGA mewujudkan jalinan kerjasama dan penyelarasan untuk memantapkan lagi program pelancongan antara negara termasuklah penekanan terhadap eko-pelancongan berasaskan komuniti, BIPM-EAGA Sister Tourism Village dan menyediakan pakej pelancongan berkaitan Cruise Tourism dengan menekankan laluan utama yang berkaitan.
Hajiji menambah, satu kajian Koridor Ekonomi BIMP-EAGA sedang dilaksanakakan oleh Asian Development Bank dan dijangka siap pada penghujung tahun ini untuk menilai pencapaian koridor ekonomi BIMP-EAGA sedia ada dan memberikan rekomendasi untuk mengoptimumkan perkembangan ekonomi di rantau ini serta menggariskan strategi-strategi berdasarkan sektor yang berkaitan.