KOTA KINABALU: Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) keenam anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) akan berlangsung di Kota Kinabalu mulai 28- 30 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Kali terakhir Sabah menganjurkan acara ini pada 2010 dan pemilihan Sabah sekali lagi menunjukkan tanda pengiktirafan kepada komitmen dan kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa membawa kepada pembangunan mampan dan berterusan sektor pelancongan untuk meletakkan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di pentas dunia.
WTC bertemakan “Tourism Futures Reimagined”itu bertujuan untuk menyediakan platform antara disiplin yang memperjuangkan kepimpinan pemikiran tentang masa depan pelancongan dan strategi memacu pemulihan dan daya tahan pelancongan dalam dunia pasca pandemik.
Adalah dijangka 700 peserta antarabangsa dan tempatan akan bersidang di Sabah untuk acara tiga hari itu.
Permohonan kini dibuka melalui laman web rasmi UNWTO dan akan disemak oleh MOTAC.
“Kami mengharapkan orang kenamaan asing, pakar industri pelancongan dan peserta WTC dari seluruh dunia akan melawat Sabah untuk acara eksklusif ini. Lembaga Pelancongan Sabah sebagai rakan strategik telah bekerjasama rapat dengan MOTAC, Tourism Malaysia dan pihak berkepentingan industri untuk menyediakan dan mengalu-alukan delegasi ini,” kata Noredah Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah.
“Sabah berbangga untuk menganjurkan satu lagi acara antarabangsa berskala besar kerana kami komited untuk menjadi destinasi acara perniagaan utama di rantau ini. Saya yakin dengan kemudahan, bakat kemahiran dan pengalaman yang kami ada, industri acara perniagaan Sabah boleh berkembang maju,” katanya.