Sabah jadi kanvas kajian remajakan semula APM

APM-Sandakan.jpg

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed (depan, tengah) bersama anggota APM selepas majlis apresiasi penganugerahan pingat dan reben hari ini. - Foto BERNAMA

SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memilih Sabah sebagai kanvas kajian bagi meremajakan semula organisasi itu, kata Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Aminurrahim Mohamed.

Beliau berkata pemilihan Sabah adalah berdasarkan bentuk geografi negeri berkenaan dan beberapa peristiwa dialami yang turut melibatkan perkhidmatan APM, menjadikan Negeri di Bawah Bayu itu suatu platform paling lengkap bagi melaksanakan usaha berkenaan.

“Ada sempadan darat dan laut, pulau, gunung, pernah berlaku gempa bumi, pernah berlaku Operasi Daulat (pencerobohan pengganas di Lahad Datu)… di negeri lain perkara itu telah lama berlaku ataupun tidak pernah berlaku.

“Penumpuan ataupun kajian yang dibuat di Sabah ini kita akan bentangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kita akan lihat sejauh mana tindakan atau arahan menteri untuk kita kembangkan ke negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Penganugerahan Pingat dan Reben APM Peringkat Zon Sandakan di sini semalam.

Aminurrahim berkata kajian itu telah dimulakan pertengahan bulan lepas dan dijangka tamat pada Februari depan sebelum hasilnya dibentangkan kepada Menteri di JPM.

Pada majlis itu, seramai 193 pegawai dan anggota APM menerima penghargaan atas sumbangan dan kecemerlangan mereka dalam bertugas, sementara seramai 31 menerima watikah pelantikan sebagai pegawai bersekutu APM Sabah. – BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top