Sabah IC Penting Untuk Rakyat Sabah – SAPP

Richard-Yong-SAPP.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor semasa Persidangan DUN Sabah Khamis lepas berkaitan ketegasan Kerajaan Sabah untuk tidak akan membenarkan Pendatang Asing Tanpa Izin yang telah divaksin memperolehi kad pengenalan dan kewarganegaraan, kecuali kepada Orang Asal yang tidak memiliki dokumen.

“Pengumuman itu begitu penting sekali bagi kita semua, ianya memberikan harapan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan ini prihatin terhadap isu yang hangat diperkatakan,” kata Datuk Richard Yong (gambar), Timbalan Presiden merangkap Setiausaha Agung SAPP.

Bagaimanapun ujar Richard, SAPP berpendapat, sudah tiba masanya Sabah IC diperkenalkan bagi membolehkan isu pemilikan MYKAD secara meragukan dan juga isu berkaitan Projek IC dapat diselesaikan.

Menurut beliau, Sabah IC apabila dilaksanakan bukan menjadi pengganti MYKAD akan tetapi mekanismanya adalah bagi memperkukuhkan identiti rakyat Malaysia di Sabah.

SAPP telah mengesyorkan Sabah IC kepada Suruhanjaya Siasatan diRaja berhubung isu Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah. Ianya juga membolehkan cadangan itu menjadi rujukan dan dokumen awam pada masa sekarang.

“Projek IC sekitar pertengahan 80an, adalah duri dalam daging, yang telah merosakkan Sabah berdekad-dekad lamanya mesti diselesaikan,” jelas Richard lagi

“Menurut beberapa laporan, dipercayai sebahagian dari 3.9 juta penduduk Sabah adalah PTI, ini satu fakta yang menakutkan,” tambah Richard.

“Apatah lagi, penduduk di luar bandar, jauh dari akses, tiada pengangkutan, akhirnya apabila ada kelahiran baharu, tidak dapat didaftarkan dalam waktu singkat, ada yang didaftarkan lewat, ada yang langsung tidak dapat mendaftar, ini sesuatu yang sangat malang bagi mereka,” katanya.

Beliau meminta Kerajaan Sabah segera mempertimbangkan cadangan Sabah IC ini.

“Kita perlu bertindak segera dan SAPP sedia menawarkan diri menyediakan dokumen dan keperluan maklumat yang lain sekiranya diperlukan,” tambah Richard lagi.

Menurutnya, Sabah IC akan menjadi dokumen penting bukan sahaja terhadap perkara yang beliau nyatakan di atas, akan tetapi berbagai urusan lain seperti tanah, pendidikan, biasiswa, termasuk pemilikan perniagaan di Sabah.

“Sabah IC akan menjamin status dan taraf rakyat Sabah sesuai dengan menifestasi MA63 dan Sabah sebagai sebuah wilayah.”

Beliau juga tidak menolak terdapatnya keraguan berikutan MYKAD banyak yang dipalsukan dan adanya pihak yang kemungkinan mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan segera dengan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

“Kerana itu, suatu enakmen baharu perlu diusul dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan sebuah Jabatan pendaftaran Sabah IC ditubuhkan, dengan adanya undang-undang khas, maka perkara sedemikian mungkin boleh diminimumkan,” jelas beliau.

Sabah IC sekiranya diujudkan, juga dijangka akan dapat menyelesaikan isu pengundi hantu di dalam senarai pemilih di Sabah.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top