KOTA KINABALU: Sabah diminta memberi pertimbangan untuk membangunkan lebih banyak loji tenaga solar bagi menangani isu kekurangan tenaga di negeri itu.
Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer membuat cadangan itu semasa kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di pejabatnya di Wisma Pertanian di sini.
Blomeyer berkata beliau mengetahui bahawa 80 peratus daripada bekalan tenaga Sabah bergantung kepada gas, manakala 100 MW dijana daripada tenaga solar.
“Memandangkan pembinaan kuasa hidro melibatkan isu tanah, Sabah harus lebih menumpukan kepada loji tenaga solar,” katanya selepas pertemuannya dengan Kitingan, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri.
Semasa pertemuan dengan Kitingan, Blomeyer juga menyatakan minat ribuan syarikat di Jerman yang ingin melabur di Malaysia Timur.
Blomeyer juga berkongsi dengan Kitingan matlamat Jerman untuk menggunakan tenaga hijau boleh diperbaharui menjelang 2035.
Beliau juga menyatakan mengenai pertemuannya dengan timbalan ketua konservator Jabatan Perhutanan Sabah Dr Robert Ong, di mana mereka membincangkan keperluan untuk program pengajian jangka panjang mengenai perubahan iklim dan alam sekitar di Sabah.
Blomeyer dimaklumkan mengenai SOMACORE (Solutions for Marine and Coastal Resilience), yang sedang dilaksanakan di Taman Laut Tun Mustapha dengan kerjasama Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF).
Inisiatif ini bertujuan melindungi taman daripada aktiviti pengeboman ikan, kata Kitingan.
Berita asal: NST