Sabah Hadapi Masalah Sistem Kesihatan Am Sebelum COVID-19 Lagi – Dr Jemilah

dr-jamilah.jpg

KUALA LUMPUR: Sabah mempunyai kelemahan sistem kesihatan am sebelum pandemik COVID-19 melanda negara lagi.

Menurut Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, nisbah doktor kepada penduduk di negeri itu bersamaan 1:850 berbanding Kuala Lumpur yang hanya 1:244.

“Perkara itu sudah cukup membuatkan sistem kesihatan di Sabah begitu tertekan apabila gelombang ketiga COVID-19 melanda.

“Sabah sebelum COVID-19 sudah mempunyai penyakit berjangkit lain seperti kolera dan sebagainya malah nisbah doktor pesakit di Sabah adalah yang paling tinggi di Malaysia.

“Selain itu, pesakit alami tekanan lain seperti sukar mendapatkan rawatan disebabkan hospital dan pusat kesihatan yang jauh dari tempat tinggal,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Dapatan itu diperoleh beliau selepas melakukan tinjauan mengenai COVID-19 di negeri berkenaan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Jemilah berkata, terdapat keperluan mendesak melindungi sistem kesihatan di Negeri Bawah Bayu itu.

Malah, beliau turut mencadangkan reformasi kesihatan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak dalam pelan jangka masa panjang untuk memastikan sistem kesihatan am di kedua-dua negeri itu tidak terjejas sekiranya berlaku lagi pandemik di masa akan datang.

“Sabah dan Sarawak perlu dilihat sebagai kes yang unik kerana mereka mempunyai rakyat yang duduk di kawasan pedalaman dan keadaan logistik yang sangat rumit,” jelas Dr Jemilah lagi. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top