KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil inisiatif menggunakan dana sendiri terlebih dulu bagi melaksanakan projek khas jangka pendek menangani krisis bekalan air di negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kerajaan negeri tidak menunggu sehingga menerima peruntukan RM300.25 juta yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan untuk tujuan itu bagi memulakan kerja.
Katanya, lapan daripada 20 projek jangka pendek yang disenaraikan sebelum ini sudah diluluskan dan ia perlu dilaksanakan segera Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Penyaluran peruntukan (RM300.25 juta) daripada Kerajaan Persekutuan setakat ini belum dibuat tetapi Kabinet Sabah pada 26 Julai lalu sudah bersetuju supaya JANS dapat memulakan program yang dirancang.
“JANS sudah membentuk jawatankuasa khas program pemulihan dan penstabilan tekanan air khususnya di kawasan Kota Kinabalu yang turut merangkumi daerah Tuaran dan Putatan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Yong Teck Lee berhubung pelaksanaan projek pemulihan bekalan air yang diumumkan sebelum ini.
Teck Lee merujuk kepada peruntukan segera RM300.25 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu bagi melaksanakan projek jangka pendek mengatasi isu bekalan air di Sabah.
Shahelmey berkata, JANS juga sudah memulakan kertas kerja penyediaan pra pelaksanaan projek sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek sejurus peruntukan disalurkan.
Menjawab satu lagi soalan tambahan daripada Datuk Darell Leiking (WARISAN – Moyog) mengenai dana daripada Kerajaan Persekutuan itu, Shahelmey berkata ia diberikan dalam bentuk pinjaman mudah kepada Kerajaan Negeri.
“Dalam Mesyuarat pertama, Perdana Menteri membayangkan ianya sebagai satu pinjaman mudah dengan kos yang paling minima. RM300 juta itu untuk membiayai inisiatif jangka pendek segera menyelesaikan masalah yang kita hadapi,” katanya. – HMetro