KOTA KINABALU: Kemampuan pemain, bukannya dari mana mereka datang, menjadi asas utama penilaian sebelum mereka disenaraikan sebagai kesebelasan utama pasukan Sabah FC.
Atas faktor itu tidak timbul istilah ‘pilih kasih’ sehingga meminggirkan beberapa pemain tempatan dalam pemilihan pemain yang diturunkan oleh skuad tersebut bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2022.
Menegaskan mengenai perkara itu, pengendali pasukan Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, “Apa yang penting bagi saya, jika mereka mampu beraksi sebagai kesebelasan utama mereka tetap akan diturunkan dan setiap pemain yang diturunkan mereka bukan beraksi untuk diri sendiri tetapi mereka memakai lencana kebanggaan di dada iaitu Sabah FC dengan memastikan mereka mampu mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
“Saya tidak nampak ini sebagai satu isu utama, kecuali ada segelintir dalam kalangan mereka sengaja menimbulkan masalah ini sehingga mengganggu perjalanan pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai mengulas rungutan segelintir penyokong Sabah FC di media sosial yang melihat pasukan kendaliannya tidak menyenaraikan pemain tempatan pada perlawanan pertama Liga Super 2022 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), Jumaat lalu di Stadium Likas.
Mengulas mengenai pertemuan dengan PJ City FC esok (Rabu), Kim Swee berkata, Sabah FC masih mengekalkan beberapa pemain import sedia ada berikutan mereka menunjukkan prestasi cemerlang ketika menentang Negeri Sembilan FC minggu lalu.
“Kita tahu kekuatan pemain-pemain PJ City FC yang berpengalaman termasuk K. Gurusamy, Darren Lok, S. Kumaahran dan Mahali Jasuli. Mereka ini merupakan bekas pemain kebangsaan tetapi mereka masih lagi mempunyai nilai persembahan yang cukup baik.
“Kita tidak boleh hilang fokus dan harus kekal fokus sehingga akhir perlawanan. Seharusnya kita mesti mencapai keputusan positif menentang PJ City FC Rabu ini,” katanya.