KUALA LUMPUR: Kejayaan menduduki tempat ketiga Liga Super membolehkan Sabah FC memperoleh habuan RM1 juta sebagai agihan merit, manakala Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menduduki tempat keempat menerima RM700,000.
Selain itu kedua-dua pasukan masing-masing menerima RM500,000 sebagai agihan rata yang turut diterima oleh semua pasukan yang bertanding dalam Liga itu pada musim ini.
Penerima agihan merit tertinggi bagi musim 2023 ialah Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu RM1.9 juta selaku juara. Dengan tambahan RM500,000 rata pasukan itu menerima RM2.4 juta secara keseluruhan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Selangor FC (SFC) selaku naib juara menerima agihan merit sebanyak RM1.4 juta dan dengan agihan rata RM500,000, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe membawa pulang sebanyak RM1.9 juta.
Setiap pasukan Liga M tetap mendapat agihan merit masing-masing namun jumlahnya berbeza mengikut kedudukan mereka pada hujung musim ini.
Selain itu, Terengganu FC II (TFCII) turut mendapat habuan RM500,000 selaku juara Piala MFL sementara Johor Darul Ta’zim II (JDTII) selaku naib juara Piala MFL menerima RM250,000.
Sebagai rekod, MFL sebelum ini menyatakan mekanisme pengagihan berdasarkan merit ini dapat mendorong setiap kelab untuk berusaha mencapai prestasi terbaik sehingga akhir musim kerana setiap kedudukan di dalam liga mempunyai nilai ganjaran.
Agihan pendapatan bagi musim ini meningkat 96.55 peratus kepada RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diterima 14 pasukan pada 2022.