SHAH ALAM: Sabah FC tampak tidak boleh selesa selepas sekadar meraih kemenangan 2-1 ke atas pasukan Liga Perdana, UiTM FC pada aksi pertama peringkat 16 pasukan Piala Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu perlu terus berusaha keras pada aksi kedua memandangkan peluang kedua-dua pasukan masih terbuka untuk ke suku akhir.
Penguasaan permainan lebih banyak dimiliki pelawat namun belum benar-benar menguji gol UiTM FC dalam tempoh 30 minit perlawanan dengan tuan rumah berjaya menyerap setiap asakan dilancarkan Sabah FC.
Gol pembukaan ‘timbul’ buat Sabah FC pada minit ke-43 menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar sebelum pemain gantian, Maxsius Musa menghasilkan gol kedua menerusi satu rembatan deras pada minit ke-70.
Bagaimanapun, George Attram memastikan UiTM FC membawa bekalan satu gol bagi aksi kedua apabila meledak gol pertama UiTM FC di hujung permainan.-BH Online