SEREMBAN: Pasukan Sabah FC merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Negeri Sembilan FC selepas pertembungan kedua-dua pasukan malam tadi memihak kepada skuad Sang Badak itu dengan keputusan 1-0.
Perlawanan berlangsung rancak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan serta mempunyai beberapa peluang terhidang.
Gol pelawat hadir pada babak kedua iaitu pada minit ke-61 menerusi tandukan pemain tengah, Park Taesu sekali gus menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed di gawang Negeri Sembilan.
Tersentak dengan jaringan berkenaan, tuan rumah membuat beberapa pertukaran pemain bagi mencari gol penyamaan termasuk mengeluarkan dua orang pemain import mereka.
Bagaimanapun, Sabah FC kental mempertahankan gawang mereka sehingga tamat perlawanan sekali gus meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan.
Selepas 10 perlawanan, Sabah FC kini mengutip 22 mata hasil tujuh kemenangan dan sekali seri. – Utusan