KOTA KINABALU: Sabah FC semalam mengumumkan pelantikan Martin Stano sebagai ketua jurulatih untuk baki musim Liga Malaysia (M-League) 2024-2025.
Stano, dari Slovakia, sebelum ini dilantik sebagai penolong jurulatih sementara merangkap jurulatih kecergasan bersama ketua jurulatih sementara, Alto Linus, selepas Ong Kim Swee memilih untuk tidak melanjutkan kontraknya sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super itu.
Sabah FC menyatakan bahawa Stano, 47, akan dibantu oleh Alto dan jurulatih kecergasan Muhamadin Abdul Ajid, yang dinaikkan pangkat daripada Sabah FC II ke pasukan utama.
“Pelantikan ini dibuat daripada barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan dan pendekatan pasukan, seperti latihan, taktikal, metodologi dan analisis video, dapat diteruskan tanpa gangguan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan.
“Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah memberikan Sabah FC sehingga 10 Disember untuk melantik ketua jurulatih baharu yang memiliki lesen pro, yang dimiliki oleh Stano,” kata Sabah FC dalam satu kenyataan.
Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Swee, yang memilih untuk tidak melanjutkan kontraknya bersama Sabah FC apabila kontraknya tamat bulan lalu, kini telah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Persis Solo, sebuah kelab bola sepak dalam Liga Indonesia.
Sabah FC kini berada di tempat ketiga dalam kedudukan Liga Super yang terdiri daripada 13 pasukan dengan 29 mata daripada 15 perlawanan, di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (43 mata) dan Selangor (32 mata).