Sabah FC Lancar Jersi ‘Sumandak’

Sabah-FC.jpg

Kredit foto: Sabah FC

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah FC menetapkan sasaran untuk membawa pulang Piala Malaysia atau sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Sasaran itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir pada pelancaran jersi ‘home’ atau di laman sendiri skuad Badak sempena program Sabah FC Day di Stadium Likas, di sini, petang semalam.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah FC dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Selain jersi home, Sabah FC turut melancarkan jersi ‘sumandak’ untuk digunakan pada perlawanan di tempat lawan. Sumandak yang bermaksud gadis dalam bahasa Kadazandusun.

Ahmad Marzuki berkata, usaha membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan Liga Malaysia pada tahun ini sejajar harapan peminat dan penyokong Sabah FC.

Katanya, usaha itu juga adalah antara sasaran projek tiga tahun Sabah FC yang dirancang bersama Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dalam mengembalikan imej pasukan bola sepak negeri.

“Ini projek tiga tahun kita bersama Datuk Ong Kim Swee, kita menyasarkan untuk Sabah FC bermain dalam Liga Asia, selain memenangi sekurang-kurangnya satu piala.

“Ia juga sejajar dengan aspirasi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyokong perkembangan pasukan kerana ia dapat menyatukan rakyat Sabah.

“Apabila pasukan berada pada tahap yang baik sokongan rakyat juga naik dan sekarang kita sudah berjaya kembali bermain dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang kali terakhir disertai Sabah pada 1995,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukan Sabah FC, Ahmad Marzuki berkata program latihan dan perlawanan persahabatan selama 10 hari di Thailand, selain tiga perlawanan persahabatan di Stadium Likas dijadikan ujian untuk menilai kekuatan pasukan.

Katanya, ia penting untuk pendedahan dan pengalaman pemain sebelum sepak mula Liga Super pada 25 Februari ini yang dijangka lebih mencabar berbanding musim lalu.

 

“Di Thailand kita berlawan dalam aksi persahabatan tahap tinggi untuk pengalaman pemain dan di Sabah, tiga lagi perlawanan persahabatan pra musim termasuk yang terakhir pada malam ini.

“Dua perlawanan persahabatan di Stadium Likas sebelum ini kita mencatat kemenangan yang memberangsangkan, namun keputusan perlawanan persahabatan bukan pengukur kerana aksi liga lebih mencabar,” katanya.

Sabah FC bertemu Tampines Rovers FC dari Singapura dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Likas, malam ini.

Sementara itu, Shahelmey menyifatkan kejayaan Sabah FC dalam dua aksi persahabatan sebelum ini boleh memberi gambaran tahap permainan pemain Sabah FC pada musim ini.

“Keputusan yang memberangsangkan ini biarpun belum boleh diambil kira sebagai kayu pengukur tahap kekuatan kita tetapi saya yakin itulah gambaran yang kita akan bermain dengan bersungguh-sungguh mengambil kira segala teknik dan strategi yang disusun pada musim ini.

“Saya juga berharap pasukan Sabah FC dapat beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan sekali gus membawa pasukan ke aras yang lebih tinggi. Saya pasti setiap perancangan dan strategi yang telah diatur oleh pihak pengurusan dan pasukan akan berjalan lancar serta membuahkan kejayaan,” katanya.- BHarian

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top