SHAH ALAM: Sabah FC berkenduri gol malam tadi apabila menewaskan Kelantan FC 7-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM, di sini.
Aksi Liga Super itu menyaksikan skuad Sabah yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mendahului seawal minit ke-25 menerusi sepakan penalti yang disudahi Jafri Firdaus Chew.
Ternyata walaupun kehilangan empat tonggak utama kerana beraksi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Sabah FC tidak menghadapi masalah untuk menambah dua lagi gol menerusi Farhan Roslan dan Rizal Ghazali, sekali gus menjadikan kedudukan 3-0 pada babak pertama.
Sebaik bermula babak kedua, Sabah FC tidak lagi menoleh kebelakangan apabila Irfan Fazail, Telmo Castanheira, Ramon Machado dan S Kumaarahan terus menambah derita Kelantan FC untuk kedudukan 7-0.
Situasi terbabit menyebabkan Alfredo meninggalkan bangku simpanan walaupun perlawanan belum lagi tamat kerana dipercayai terlalu kecewa pasukannya terus menjadi mangsa belasahan.
Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan FC mencipta rekod tersendiri apabila dibolosi 102 gol walaupun saingan Liga Super masih lagi berbaki dua perlawanan.