Sabah Diminta Terima Pesakit Kritikal Dari Labuan

rozman-labuan.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN:  Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli memohon kerajaan negeri Sabah mempertimbangkan untuk memberi kebenaran pesakit kritikal dari pulau bebas cukai itu masuk ke tanah besar bagi mendapatkan rawatan perubatan segera di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu atau hospital swasta.

Rozman berkata beliau telah menghantar surat permohonan bertarikh 18 Jun kepada jurucakap rasmi kerajaan negeri Sabah berkaitan COVID-19 Datuk Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong untuk mengenai perkara itu.

“Saya telah meminta kerajaan Sabah mempertimbangkan untuk memberikan kelonggaran terhadap sekatan perjalanan antara negeri yang lebih ketat yang sedang berkuat kuasa ketika ini, untuk membolehkan pesakit kritikal di sini mendapatkan rawatan segera di hospital di tanah besar,” katanya kepada Bernama hari semalam.

Rozman berkata terdapat kes (turut dilaporkan di akhbar tempatan) beberapa pesakit kritikal yang telah diberikan surat rujukan dari Hospital Labuan untuk ke hospital di tanah besar terkandas semasa tiba di terminal feri Menumbok.

“Pesakit-pesakit yang kritikal ini, walaupun mempunyai surat rujukan tidak dibenarkan melepasi terminal feri Menumbok malahan diminta pulang semula ke Labuan.

“Kami meminta kerajaan Sabah supaya memberi kebenaran kepada Hospital Labuan untuk mengeluarkan permit perjalanan antara negeri kepada pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera di hospital di tanah besar,” katanya.

Sabah sebelum ini mengumumkan sekatan pergerakan keluar masuk antara negeri itu dan Labuan berkuat kuasa 26 Mei lepas berikutan kewujudan COVID-19 varian India yang dikesan di Labuan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dilapor berkata berikutan pengesanan varian itu, Sabah tidak akan membenarkan orang ramai melepasi sempadan antara Labuan.

Bagaimanapun pengecualian diberikan melibatkan pergerakan perkhidmatan dan barangan perlu, keselamatan dan kesihatan atau perubatan yang telah mendapat kebenaran khas.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top