Sabah dijangka perlu tambahan lebih 2,600 petugas kesihatan menjelang 2030

Datuk-Lukanisman-Awang-Sauni.jpg

Datuk Lukanisman (Kredit foto: RTM)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Keperluan tambahan tenaga kerja dalam sektor kesihatan di Sabah dijangka meningkat menjelang tahun 2030, melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Menurut beliau, berdasarkan projek yang dijadualkan siap menjelang 2030, keperluan tenaga kerja sektor awam di Sabah diunjur meningkat daripada 4,516 orang pada tahun 2023 kepada 6,526 orang pada tahun 2030, iaitu tambahan sebanyak 2,010 orang.

Bagi sektor swasta, peningkatan keperluan tenaga kerja dijangka meningkat daripada 645 orang pada 2023 kepada 810 orang pada 2030, dengan tambahan sebanyak 165 orang.

“Secara keseluruhan, jumlah tenaga kerja kesihatan yang diperlukan di Sabah akan meningkat daripada 5,161 orang pada 2023 kepada 7,336 orang pada 2030, dengan tambahan keseluruhan sebanyak 2,687 orang,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa nisbah doktor kepada penduduk di negeri itu dijangka bertambah baik daripada 1 doktor bagi setiap 697 penduduk pada tahun 2023 kepada 1 doktor bagi setiap 571 penduduk pada tahun 2030.

“Penambahan ini penting untuk menampung pertumbuhan populasi dan memastikan perkhidmatan kesihatan lebih mampan,” ujarnya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis di Dewan Rakyat semalam.

Lukanisman turut memaklumkan bahawa salah satu inisiatif utama Kementerian Kesihatan (KKM) ialah memberi keutamaan kepada anak jati Sabah untuk berkhidmat di negeri sendiri. Ini bertujuan merapatkan jurang nisbah doktor di Sabah.

Strategi lain termasuk menempatkan lebih ramai pegawai perubatan, pakar perubatan tetap, dan kontrak yang telah tamat pengajian kepakaran untuk menyokong perkhidmatan kesihatan di Sabah.

Beliau juga menyebut usaha sedang dijalankan bagi mengisi jawatan kosong pegawai perubatan dan pakar di fasiliti kesihatan Sabah, selain memohon peruntukan jawatan tambahan untuk fasiliti baharu dan dinaiktaraf.

Antara langkah lain yang diambil termasuk pendekatan inovatif melalui konsep hospital kluster dan “visiting specialist” untuk memastikan penduduk luar bandar turut mendapat perkhidmatan kepakaran.

“KKM juga meneruskan pelbagai insentif untuk menarik dan mengekalkan petugas kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini termasuk bayaran insentif berdasarkan lokasi dan tahap kesukaran, tambang ziarah wilayah, serta insentif penempatan untuk pakar perubatan dan pergigian di fasiliti kesihatan Sabah,” tambahnya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top