Sabah Digesa Ikut Jejak Pusat Beri Diskaun Bil Elektrik

chua-soo-pin.jpg

Chua

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah diminta supaya mengikut langkah Kerajaan Pusat melaksanakan beberapa pendekatan proaktif bagi mengurangkan beban rakyat berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.

Ia termasuk memberikan diskaun 30 peratus terhadap bil utiliti seperti elektrik dan air, cukai tanah dan cukai pintu serta mengecualikan bayaran letak kereta yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pembaharuan lesen perniagaan.

Perkara itu disuarakan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) dengan mengambil kira keadaan dihadapi rakyat Sabah ketika ini yang ramai terjejas berikutan penutupan sebahagian aktiviti ekonomi setempat.

Presidennya, Datuk Chua Soon Ping (gambar) berkata, kerajaan negeri perlu melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dengan memasukkan pemberian insentif seperti diskaun atau pengecualian bayaran untuk meringankan beban rakyat.

“Shareda menggesa kerajaan negeri supaya bertindak dengan sebaiknya untuk memastikan keperluan mendesak rakyat Sabah dapat diselesaikan, khususnya dalam sektor pembinaan dan hartanah serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Ini kerana banyak perniagaan dan individu berdepan kesukaran dari segi aliran tunai disebabkan jumlah jualan yang rendah atau penurunan pendapatan berpunca daripada pelaksanaan PKP.

“Sehubungan itu, Shareda mencadangkan kepada kerajaan supaya menimbangkan pendekatan seperti pemberian diskaun bil utiliti, cukai tanah dan cukai pintu serta pengecualian bayaran letak kereta dan lesen perniagaan untuk mengatasi masalah aliran tunai yang dihadapi rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, diskaun bil utiliti dapat mengurangkan beban kewangan rakyat berikutan terpaksa bekerja dari rumah, selain Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang menyebabkan penggunaan utiliti isi rumah meningkat.

Pada masa yang sama, katanya pengecualian bayaran lesen perniagaan dan diskaun untuk cukai tanah serta cukai pintu juga dapat mengurangkan beban kewangan, selain untuk kelangsungan perniagaan setempat yang turut menyediakan pekerjaan kepada rakyat.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan Kerajaan Pusat memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut kadar penggunaan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih). – hmetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top