SANDAKAN: Kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik untuk menjayakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dan negeri ini kini berada di landasan yang betul, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berharap kerajaan negeri dan rakyat terus bersatu dan menumpukan perhatian untuk memenuhi agenda pembangunan negeri.
“Hari ini, saya gembira kerana kita mempunyai kerajaan inklusif, gabungan ahli daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah.
“Adalah penting kita semua berfungsi sebagai satu pasukan dengan berkongsi aspirasi bersama yang dibina atas kepercayaan dan saling hormat-menghormati. Marilah kita bersatu bagi memastikan pentadbiran ini berjalan lancar,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Sandakan anjuran DAP di sini, hari ini .
Hajiji berkata sekiranya rakyat dan kerajaan terus bersatu untuk memberi tumpuan bagi memenuhi agenda pembangunan negeri, Sabah akan meningkatkan kutipan hasil dan pelaburannya, yang jumlah masing-masing melebihi RM6.6 bilion dan RM33.4 bilion tahun lepas.
Beliau berkata, arnab dalam zodiak Cina, dikaitkan dengan keamanan, kemakmuran dan umur panjang.
“Semoga Tahun Arnab ini membawa kita ke hadapan dan rakyat akan hidup dengan aman serta mampu menangani cabaran ekonomi dan kesihatan,” tambahnya.
Beliau berterima kasih kepada masyarakat Cina atas sokongan dan kerjasama mereka dalam membantu kerajaan negeri membangunkan Sabah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata kestabilan politik di Sabah telah bertambah baik di bawah Hajiji.
“Saya percaya ekonomi akan bertambah baik. Saya juga percaya Tahun Arnab ini akan membawa lebih banyak peluang dan kekayaan kepada orang ramai,” tambahnya. -BERNAMA