KOTA KINABALU: Jarak yang dekat antara Sabah dan wilayah Tawi-Tawi di Filipina merupakan satu kelebihan yang harus dimanfaatkan melalui kerjasama pelancongan antara kedua-duanya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, terdapat potensi besar bagi kerjasama itu.
Sehubungan itu beliau turut menggesa wilayah pulau itu untuk memanfaatkan peluang perniagaan dan pelaburan di negeri ini.
“Memandangkan kami (Sabah) adalah jiran terdekat anda, terdapat potensi besar untuk kerjasama, khususnya dalam bidang pelancongan.
“Kita boleh meneroka peluang pertukaran pelancong antara dua destinasi untuk manfaat bersama,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengalu-alukan delegasi 10 anggota dari Tawi-Tawi yang diketuai Gabenor Wilayah Yshmael I. Sali.
Penasihat dan Perunding Ekonomi Wilayah, Sulay Halipa, yang merupakan sebahagian daripada delegasi, berkata lawatan mereka ke Sabah adalah untuk membalas kunjungan delegasi negeri ini tahun lepas.
Beliau merujuk kepada delegasi Dewan Perniagaan Sabah-China (SCCC) yang diketuai presidennya Datuk Frankie Liew, yang telah melawat Tawi-Tawi pada September 2022 dan bertemu dengan pemimpin wilayah.
“Kami mengharapkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua tempat dari segi perdagangan, pelancongan dan perikanan,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Frankie kerana membuka jalan untuk pertemuan dengan Liew.
Pada mesyuarat itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman dan Pengarah Taman Sabah Dr Maklarin Lakim memberi taklimat kepada delegasi mengenai prospek pelancongan di Sabah.