Sabah contohi Sarawak teroka ekonomi digital

Ekonomi-digital.jpg
Kongsi Bersama

KUCHING: Kedudukan geografi Sabah dan Sarawak yang berjiran menjadikan kedua-dua negeri ini amat strategik untuk meneroka ekonomi digital bersama, kata Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng.

Menurut Anderson, Sarawak telah bergerak ke arah ekonomi digital sejak Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg mengambil alih tampuk kepimpinan Sarawak.

“Kita amat bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin yang berpandangan jauh malah beliau merupakan Pengerusi SMA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada rombongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang diketuai  Setiausaha Tetapnya, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim di Ibu Pejabat SMA di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Hanafiah berkata, Sabah melihat Sarawak sebagai ‘ketua’ dalam transformasi ekonomi digital.

“Tujuan lawatan kami adalah untuk mempelajari daripada SMA bagaimana laluan pantas bergerak ke arah ekonomi digital.

“Kita juga ingin mengetahui bagaimana SMA mengubah landskap ekonomi digital dan mengubah rakyat Sarawak agar bersedia berubah kepada pendigitalan,” jelasnya.

Katanya lagi, lawatan ke SMA adalah langkah pertama yang diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam memahami lebih mendalam mengenai landskap ekonomi digital di Sarawak.

“Kita kagum dengan ekosistem ekonomi digital Sarawak yang memusatkan rakyat dan kita akan melihat pelbagai arah agar ia memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah,” ujarnya. – TVS

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top