Sabah Cetus Sensasi, Jadi Juara Keseluruhan Para Sukma 2022

sabah-para-sukma-2022.jpg

OLAHRAGA menjadi penyumbang terbesar emas buat kotinjen Sabah apabila menyumbang 30 emas. FOTO Majlis Sukan Negeri Sabah

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kontinjen Sabah mencetuskan sensasi apabila kali pertama muncul juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 yang akhirnya melabuh tirai saingan, semalam.

Berdasarkan kepada kedudukan terkini, Sabah mempamerkan aksi cemerlang apabila mengungguli carta kutipan pingat dengan 54 pingat emas, 36 perak dan 35 gangsa.

Sukan olahraga menjadi penyumbang terbesar emas buat kotinjen Sabah apabila menyumbang 30 emas diikuti renang (12), ping pong (lapan), memanah (dua), boling (satu) dan boling padang (satu).

Sabah mengatasi juara 13 kali yang juga juara bertahan, Sarawak yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas mengakhiri temasya dengan 50 emas, 47 perak dan 49 gangsa manakala Johor berada di kedudukan ketiga dengan 38 emas, 30 perak dan 25 gangsa.

Kejayaan Sabah memenangi 54 emas pada edisi ke-20 kali ini turut menyaksikan ia sebagai pencapaian emas terbanyak yang diraih negeri itu selepas edisi 2018 di Perak denan 36 emas untuk bergelar naib juara keseluruhan.

Timbalan Ketua Kontinjen Sabah Apui Jan berkata, pencapaian terbabit adalah hadiah terbaik buat atlet negeri terbabit yang bertungkus lumus mencipta keputusan positif pada temasya dwi tahunan itu.

“Kami tidak pernah menjadi juara sepanjang Para Sukma dipertandingkan. Malah, kami pun tidak pernah mendahului Sarawak tetapi kali ini kita berjaya melakukannya dan sudah pasti ia sangat istimewa untuk kami.

“Pada 2018 di Perak, kami hanya meraih 36 emas untuk berada di belakang Sarawak yang memenangi 61 emas. Saya fikir, kali ini kita dapat lihat yang persaingan semakin terbuka untuk semua negeri yang bertanding,” katanya, ketika ditemui, di perkarangan Majlis Sukan Negara (MSN).

Apui berkata, salah satu faktor menyumbang kepada kejayaan kali ini adalah disebabkan persiapan awal yang dilakukan kontinjen sejak empat tahun lalu.

“Atlet yang kita bawa pada temasya kali ini juga sememangnya memiliki bakat yang luar biasa. Mereka berlatih secara konsisten termasuklah ketika pandemik Covid-19 yang mana mereka tetap meneruskan latihan di rumah.

“Jurulatih juga memainkan peranan yang penting di atas kejayaan ini yang mana tidak pernah kenal erti penat bagi melatih atlet sebagai persiapan menghadapi temasya Para Sukma. Selain itu, sokongan daripada keluarga atlet dan kerajaan negeri turut menjadi faktor terhadap kejayaan ini,” katanya. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top