KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan pendapatan sejumlah RM643 juta dalam sektor perikanan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, hasil itu diperoleh melalui pendaratan ikan yang berjumlah sebanyak 107,000 tan metrik.
Beliau berkata, secara keseluruhan, purata bulanan bekalan ikan untuk tahun ini dijangka kekal stabil pada 169,000 tan metrik berbanding dengan keperluan negara sebanyak 125,000 tan metrik sebulan.
Katanya, walaupun sektor perikanan berdepan dengan pelbagai cabaran ketika ini namun, bekalan ikan adalah mencukupi dan stabil bagi memenuhi keperluan negara.
Bagi meningkatkan lagi hasil perikanan negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut memperuntukan sebanyak RM450,000 untuk menaik taraf pasar nelayan ini sebagai pusat sehenti bagi menjalankan aktiviti pemasaran ikan, pendaratan dan agro pelancongan.
“Lokasi ini sangat strategik dan berpotensi untuk dimajukan bagi manfaat nelayan dan masyarakat setempat.
“Secara keseluruhan, LKIM juga memperuntukkan RM4.32 juta bagi negeri Sabah untuk bantuan baik pulih rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN), naiktaraf pasar nelayan dan pembinaan pusat pengumpulan dan pengedaran ikan serta pembinaan dan baik pulih jeti-jeti nelayan.
“Selain itu, kerajaan juga melalui LKIM telah memperuntukkan sebanyak RM2.18 juta di bawah Dana Khas Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan Dana Khas Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang merupakan antara inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN),” katanya semasa walkabout ke Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Ronald turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 100 orang ahli nelayan PNK Kota Kinabalu.
Katanya, sumbangan itu sebahagian daripada program MAFI prihatin menerusi LKIM bersama-sama PNK bagi mengurangkan beban para nelayan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Kebajikan semua golongan sasar termasuk nelayan serta jaminan rantaian bekalan makanan adalah keutamaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sepanjang masa.
“Jabatan Perikanan Negara (DOF) dan LKIM akan terus memainkan peranan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan, membangunkan industri perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa,” katanya.
Turut hadir dalam walkabout ini, Pengarah LKIM negeri Sabah, Sundralingam A/L Nagaiah dan Pengerusi PNK Kota Kinabalu Datuk Arsit Sedi.