Sabah catat peningkatan pelancong Korea Selatan

joniston-korea.jpg

Imbas kembali: Pembantu Menteri Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai mengalu-alukan kedatangan pelancong-pelancong Korea tidak lama dahulu.

KOTA KINABALU: Sabah terus menjadi destinasi pelancongan pilihan khususnya pelancong dari negara Korea Selatan dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 451.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Menurut Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Trecey J Tojuka, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Tourism Malaysia Seoul, Korea untuk menarik lebih ramai lagi pelancong dari negara itu ke Sabah.

Katanya, menerusi rekod dari Januari sehingga September lalu, Sabah telah menerima hampir seramai 152,000 pelancong Korea Selatan.

“Usaha itu turut dibantu dengan adanya penerbangan terus dari Korea Selatan ke Sabah. Sabah mempunyai 23 penerbangan terus setiap minggu dari Incheon dan Busan ke Kota Kinabalu yang dioperasikan Jin Air, JejuAir, T’way Air dan Air Busan,” katanya.

Trecey berkata pihaknya sentiasa berusaha secara berterusan untuk mempromosikan destinasi dan produk pelancongan baharu Malaysia kepada pelancong-pelancong dari Korea.

“Pihak kami juga aktif membantu pemain industri pelancongan dengan menjemput agensi pelancongan atau hotel Malaysia ke beberapa pameran yang diadakan dalam dan luar negara,” katanya.

Terdahulu, baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew memaklumkan Syarikat Penerbangan Asiana Korea Selatan merancang untuk meningkatkan penerbangan terus pada akhir tahun ke Sabah dan bakal melonjakkan ketibaan pelancong.

 

Sumber: WILAYAHKU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top