Sabah Catat Kes Kebankrapan Rendah – KP Insolvensi

kp-insolvensi.jpg

Tun Juhar (tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama Anita (tiga dari kiri) dan rombongannya.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah mencatat jumlah kes kebankrapan yang rendah berbanding negeri-negeri lain.

Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia (KPI), Datuk Anita Harun berkata setakat ini, Sabah merekodkan lebih kurang 12,000 kes kebankrapan berbanding kes di seluruh Malaysia yang berjumlah lebih kurang 294,000 kes.

“Kebanyakan kebankrapan di negeri ini melibatkan golongan lelaki berumur 40 tahun ke atas dan sebab utama kebankrapan adalah hutang pinjaman peribadi,” ujar beliau.

Oleh itu, Anita menyeru individu bankrap agar hadir ke pejabat cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia untuk mencari penyelesaian.

“Mana-mana individu bankrap untuk datang ke pejabat cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia dan kita akan cuba membantu mencari penyelesaian kes kebankrapan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Menurutnya, tujuan kunjungan hormat tersebut antara lain untuk menerangkan kepada Tun Juhar berhubung transformasi kerangka perundangan Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) terutama pada masa pandemik COVID-19 berhubung dengan nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan yang dinaikkan daripada RM50 ribu kepada RM100 ribu.

“Penambahbaikan ini telah berkuatkuasa lebih kurang setahun dan setakat ini kes kebankrapan adalah kurang disebabkan tempoh moratorium yang panjang diberikan ketika pandemik,” jelas beliau.

Turut hadir, Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Sri Ramli Yusuff, Pengarah Insolvensi Negeri Sabah, Mohd Nazri Omran, Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah Insolvensi, Siti Noor Harlina Ab Malek dan Pegawai Insolvensi, Rezuanlly Asmari. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top