Sabah catat jumlah tertinggi gangguan mental

mental.jpg

Ilustrasi hiasan.

Kongsi Bersama

BEAUFORT: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib memberitahu Sabah mencatatkan jumlah individu paling tinggi mengalami gangguan mental iaitu 42.9 peratus diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan jumlah 39.8 peratus.

Mengulas lanjut, James berkata berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan pada 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia satu daripada tiga rakyat Malaysia mengalami gangguan mental iaitu 29.2 peratus populasi negara menghidapi pelbagai masalah mental.

“Faktor utama mengundang kepada masalah gangguan mental ini adalah tekanan yang berpunca dari pelbagai faktor antaranya isu kewangan, perceraian, bebanan tugas kerja, penyalahgunaan dadah dan lain-lain lagi.

“Jumlah itu akan bertambah dari tahun ke tahun sekiranya tidak diurus dan dibendung dengan sebaiknya dan berharap Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dapat memperkasa program-program yang dapat mengurangkan tekanan masyarakat bagi menjamin kesihatan mental.

“Justeru, langkah JPKA Sabah dalam penganjuran Program Pemantapan Kerja Berpasukan JPKA Sabah sangat bertepatan dengan tuntutan semasa masyarakat Malaysia yang berdepan dengan pelbagai tekanan dan cabaran pada masa kini.

“Diharap JPKA Sabah dan pihak MAKSUR dapat merangka satu modul khusus yang berorientasikan riadah bagi memperbanyakkan program-program yang mampu mengurangkan kadar tekanan di tempat kerja, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemantapan Kerja Berpasukan JPKA Sabah yang melibatkan lapan cawangan Maksur iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Kudat, Keningau, Institusi, Ibu Pejabat dan Beaufort yang diadakan di Dewan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) dekat sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.

Dalam pada itu, James yakin program pemantapan yang dilaksanakan JPKA Sabah dapat menjadi platform kepada semua kakitangan JPKA Sabah untuk bertukar-tukar pendapat berkenaan sistem perkhidmatan seterusnya dapat menambah baik sistem penyampaian di bahagian masing-masing.

Katanya, penganjuran itu juga mampu melahirkan kakitangan yang suka bekerja dalam pasukan serta mempereratkan lagi ukhuwah serta jalinan silaturahim dalam kalangan ahli dan berharap semangat dan budaya bersukan dalam diri masing-masing sentiasa disemarakkan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada tiga Cawangan MAKSUR Beaufort yang telah menyahut cabaran untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan yang cukup signifikan di hati kakitangan JPKA Sabah.

“Diharap objektif yang telah disasarkan dapat mencapai sasaran dan mudahan ia dapat memberi manfaat kepada semua kakitangan dan menjadikan sukan serta riadah sebagai rutin seharian bagi mengekalkan kesihatan diri sekaligus menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.

“Saya juga berharap semua kakitangan kebajikan yang menyertai program ini akan menjadi agen perubahan dalam usaha memupuk kesedaran kesihatan secara umum dan seterusnya mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan kondusif.

“Ini kerana apabila seseorang kakitangan itu sihat dari aspek kesihatan mental, maka komunikasi dan personaliti individu itu akan turut menjadi positif dan apabila kedua-dua elemen ini positif, ia akan mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni yang menggalakkan perpaduan dalam sesebuah organisasi, ” katanya. – UTUSAN BORNEO

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top