KOTA KINABALU: Sabah hari ini merekodkan 2,069 kes baharu Covid-19, naik 469 berbanding kelmarin (1,600).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tujuh daerah mencatatkan kes tiga angka direkodkan hari ini iaitu Kota Kinabalu 395 kes, Sandakan 267 kes, Tuaran 192 kes, Papar 161 kes, Penampang 161 kes, Lahad Datu 137 kes dan Tawau 113 kes.
“Bilangan daerah yang mencatatkan kes dua angka kekal pada 15 daerah, manakala hanya empat daerah sahaja yang mencatatkan kes satu angka. Satu daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Katanya, 15 daripada 27 daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes dua hingga tiga angka.
Antaranya, Papar (+100), Lahad Datu (+80), Ranau (+50), Tuaran (+42), Sipitang (+33), Kota Belud (+32), Telupid (+25), Kota Kinabalu (+24), Kuala Penyu (+24), Penampang (+23) dan Beaufort (+20). Hanya tiga daerah merekodkan penurunan kes baharu, tetapi masih mencatatkan kes harian yang agak tinggi.
“Jumlah kes jangkitan sporadik terus bertambah hari ini kepada 1,075 atau 51.96% daripada jumlah kes keseluruhan.
“Kes-kes yang diperolehi melalui saringan bergejala yang tinggi ini satu petanda jelas betapa luasnya virus Covid-19 telah merebakkan dalam komuniti,” kata beliau.
Sejumlah 2,056 (99.37%) daripada 2,069 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat lima kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5.
Mengikut statistik, kadar kebolehjangkitan (R0/RT) bagi Sabah ialah 1.54 yakni lebih tinggi daripada kadar kebangsaan yang hanya 1.32.
“Ini bermakna kadar penularan Covid-19 di Sabah lebih tinggi dan akan mengakibatkan kadar peningkatan jumlah kes yang lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di negara ini,” kata Masidi.
Dalam pada itu satu kluster baharu institusi pendidikan diisytiharkan di Kota Marudu hari ini yang melibatkan SMK Kota Marudu 2.
Menurut Masidi, kes indeks bagi Kluster Jalan Kebulian ini adalah seorang pelajar Tingkatan 5 yang berusia 18 tahun dan tinggal di asrama di sekolah berkenaan.
Katanya, kes mula bergejala pada 2 Februari 2022 dan didapati positif melalui saringan RTK Ag pada 3 Feb, 2022.
“Kes telah dikuarantin dan diberikan rawatan yang sesuai. Saringan ke atas kontak rapat mendapati tujuh orang lagi didapati positif menjadikan jumlah kes positif kumulatif sebanyak 16.
“Semua mereka yang positif telah dikuarantin dan diberikan rawatan lanjut,” katanya