Sabah Cadangkan Singapore Airlines Terbang ke Sandakan, Tawau

jafry.jpg

Jafry dalam pertemuan dengan Sim Ann di Singapura.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah berharap Singapore Airlines akan meneliti prospek mengadakan penerbangan terus ke Sandakan dan Tawau dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Ariffin berkata penerbangan terus dari republik itu akan membantu meningkatkan sektor pelancongan dua bandar pantai timur tersebut.

Jafry mencadangkan perkara ini kepada Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara dan Hal Ehwal Luar Singapura, Sim Ann semasa mesyuarat di Bangunan Hal Ehwal Luar Singapura kelmarin.

Menteri itu diiringi Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Yusrie Abdullah, ketua pegawai eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman dan beberapa pegawai kanan.

“Penerbangan terus itu akan membolehkan pelancong asing melawat tarikan di pantai timur dengan lebih mudah seperti Pulau Sipadan, Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan negeri akan menghantar cadangan kepada syarikat penerbangan itu dengan harapan mereka akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan laluan baharu itu.

Memandangkan Lapangan Terbang Changi merupakan salah satu hab penerbangan utama di Asia, Jafry percaya inisiatif itu bukan sahaja akan meningkatkan ketibaan pelancong dari Singapura tetapi juga dari negara asing lain.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top