Sabah Cadang Wujudkan Perkampungan Filem

joniston-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah bercadang mewujudkan perkampungan filem mini berkonsepkan Borneo tahun 1850-an bagi meningkatkan industri pelancongan di negeri itu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata cadangan itu timbul susulan pertemuannya dengan sebuah syarikat produksi filem tempatan yang diketuai penerbit telemovie Chester Pang bersama pengarahnya, Ramli Carlo baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu katanya, mereka turut berbincang untuk mengadakan sebuah pusat sehenti bagi syarikat perfileman tempatan dan antarabangsa bagi memudahkan syarikat produksi filem dan kru menjalankan penggambaran di Sabah.

“Dengan adanya perkampungan filem itu, ia akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan manakala perkampungan berkenaan menjadi pusat sehenti untuk syarikat luar yang ingin membuat penggambaran di Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) boleh memainkan peranan sebagai fasilitasi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata syarikat produksi filem tempatan berkenaan telah memilih Kiulu untuk dijadikan lokasi penggambaran telemovie berjudul ‘Kusai-Lelaki Dusun Terakhir’, minggu depan.

Beliau berkata telemovie yang akan ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) saluran OKEY itu turut memaparkan elemen budaya dan sosial seperti Mahkamah Adat (Sogit) dalam kalangan etnik Dusun, kehidupan kampung (tagal), keibubapaan dan kehidupan bermasyarakat.

Seramai 35 kru produksi dan pelakon akan berkampung di Kiulu selama 10 hari bagi menjalani penggambaran di kawasan pelancongan itu.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top