Sabah Bukan Lokasi Persembunyian Abu Sayyaf

Datuk-Hazani-KP-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan negeri ini tidak menjadi kubu atau lokasi persembunyian pengganas daripada Kumpulan Abu Sayyaf.

Menurut Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihak keselamatan mahu memastikan tiada lagi pengganas di Sabah selepas ini.

“Ketika ini, kita masih menyiasat sekiranya masih ada saki-baki Kumpulan Abu Sayyaf yang berada di sana (Sandakan).

“Jika ada, kita akan mengambil tindakan kerana mesej kita sudah sampai bahawa tindakan agresif akan diambil terhadap pengganas yang cuba menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Tabika Kemas Al-Ghazali di Perumahan PDRM pada Rabu.

Hazani berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan terkini tentang Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) berikutan dua ahli kumpulan itu ditembak mati dalam satu operasi khas pada Jumaat lalu.

Jelas beliau, seorang daripada suspek yang ditembak mati itu disahkan sebagai perancang utama penculikan untuk wang tebusan (KFR) manakala, tujuh orang daripada 14 pekerja warga Filipina yang ditahan di Pulau Timbang, Sandakan merupakan ahli biasa ASG.

Apabila kesemua anggota ASG ini ditahan, ini bermakna satu sel kumpulan pengganas berjaya ditumpaskan. Bagaimanapun, maklumat risikan masih dikumpul pemantauan akan diteruskan dari masa ke semasa.

“Kita sedang berurusan dengan pihak keselamatan Filipina sama ada kita mahu melakukan penghantaran pulang khas bagi membolehkan kesemua anggota ASG itu didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Itu yang terbaik, kita dakwa dulu baru hantar mereka pulang,” katanya.

Tambah Hazani, kesemua anggota ASG ini dipercayai datang ke Sabah sejak Mac lalu bersama-sama dengan anggota ASG yang ditahan dan ditembak mati berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan mana-mana majikan di Sabah supaya sentiasa membuat pemeriksaan dokumen pekerja masing-masing. Sekiranya ada pekerja yang tiada dokumen, majikan perlu menguruskan proses dokumentasi mereka.

“Sebaik sahaja keluk graf Covid-19 dilandaikan, kita akan buat operasi besar-besaran bagi mengenal pasti mana-mana majikan yang mengambil mahupun melindungi pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top