Sabah Buat Persiapan Buka Semula Sektor Pelancongan

Lembaga-Pelancongan-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bersedia membuka semula industri pelancongan di negeri ini.

Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai berkata, pihaknya akan berbincang dengan pejabat Kementerian Pelancongan persekutuan di sini mengenai keperluan mempercepatkan pemberian vaksin COVID-19 kepada pekerja sektor pelancongan di Sabah.

“Kita dimaklumkan jumlah pekerja pelancongan dan barisan hadapan yang telah menerima vaksin masih pada tahap rendah.

“Ini boleh menghalang pembukaan semula industri pelancongan Sabah dengan selamat,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan Lembaga Pengarah semalam.

Beliau berkata, vaksinasi untuk pelancongan harus merangkumi antara lain, staf hotel, pengendali pelancongan, pemandu bot, pekerja pelancongan desa, pemandu bas pelancongan, dan penyelam skuba.

Katanya, setelah pekerja sektor pelancongan diberi vaksin, maka pergerakan antara negeri dapat dipertingkatkan.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, mesyuarat berkenaan juga menekankan kepentingan pematuhan SOP bagi membolehkan industri pelancongan dibuka semula dengan yang selamat.

Dalam pada itu katanya, STB juga akan berbincang dengan pihak berkepentingan untuk memperoleh pensijilan Pelancongan Hijau dan memperkenalkan polisi insurans COVID-19 bagi meningkatkan keyakinan para pengunjung.

Katanya, Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan Negeri akan bermesyuarat minggu depan untuk membincang dan menyemak semula Peta Jalan Pemulihan Pelancongan yang dirangka selepas mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut pada akhir tahun lepas.

“Setelah pandemik terkawal, STB akan melakukan pemasaran dan promosi yang lebih agresif untuk memanfaatkan segmen percutian dan pelancongan perniagaan,” katanya.

Beliau berharap agar Kota Kinabalu turut dilibatkan dalam projek perintis negara bagi ‘travel bubble’ ataupun gelembung perjalanan seperti Kuching, Langkawi, Pulau Pangkor, dan Fraser Hill yang diumumkan oleh kementerian pelancongan persekutuan. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top