KOTA KINABALU: Inisiatif besar-besaran bagi menjayakan program khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk semua atlet Sabah akan membolehkan negeri ini menjadi perintis kepada usaha seumpama itu di Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata beliau yakin program itu yang kini dalam usaha untuk dilaksanakan akan dapat direalisasikan.
“Saya yakin program ini dapat dijayakan dan seterusnya menjadikan Sabah sebagai perintis atau negeri pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif ini secara besar-besaran melibatkan semua atlet yang akan mewakili Sabah, demi memperjuangkan kebajikan atlet-atlet negeri selaras dengan dasar pembangunan sukan yang mapan yang telah dirancang,” katanya semasa merasmikan program Taklimat KWSP dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Belia dan Sukan Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, kelmarin.
Menurut Ellron, setakat ini, Kerajaan Negeri Johor juga telah mengikuti program tersebut, tetapi hanya membiayai caruman untuk 40 atlet elit negeri itu bermula 10 April lalu.
“Tetapi kita di Sabah akan memastikan ia melibatkan semua atlet yang mewakili Sabah, tiada yang tersisih,” ujarnya, sambil berharap program ini mendapat sokongan padu daripada semua persatuan sukan dan atlet.
“Kementerian saya melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah akan melakukan yang terbaik demi masa hadapan anak-anak muda kita yang pernah bergelar atlet negeri Sabah.
“Sekian lama saya selaku bekas atlet negeri dan negara mengimpikan adanya usaha ke arah mewujudkan satu cara menabung untuk masa hadapan, walaupun jumlahnya mungkin sedikit, tetapi saya percaya boleh menjadi satu nilai yang sangat bermanfaat apabila seseorang atlet itu memasuki usia persaraan nanti.
“Kita semua sedia maklum bahawa atlet-atlet yang berjaya memenangi pingat di temasya sukan berprestij seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia serta Olimpik terjaga kebajikan mereka, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang telah berusaha gigih, memerah segala keringat dan tenaga tetapi tidak mempunyai pencapaian atau bernasib baik?
“Kita sendiri dapat melihat terlalu ramai bekas-bekas atlet kita yang terumbang-ambing, tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai pendapatan tetap, apatah lagi mempunyai tempat tinggal yang selesa. Keadaan ini pastinya lebih teruk lagi bila mereka, bekas-bekas atlet ini memasuki usia persaraan nanti.
“Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada KWSP kerana program kolaborasi atau kerjasama dengan KWSP ini lebih menumpukan usaha untuk membantu mereka, atlet-atlet ini. Sekurang-kurangnya pengorbanan mereka termasuk wang ringgit ibu bapa yang telah mereka gunakan tidak menjadi sia-sia begitu sahaja,” katanya.
Katanya, ianya menjadi tanggungjawab Kementerian dan juga persatuan-persatuan sukan negeri untuk membela dan menjaga kebajikan mereka melalui usaha seperti Program Kolaborasi KWSP ini.
Ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi keyakinan anak-anak muda serta juga ibu bapa untuk menerima usaha penyertaan serius dalam sukan’sebagai satu kelangsungan atau jaminan hidup, tambahnya.