KOTA KINABALU: Hasrat membangunkan taman tema pertama di Sabah sedang dalam perbincangan bersama dengan pelabur daripada Singapura.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, perbincangan mengenai pembangunan taman tema ini sedang dilakukan bersama dengan pelabur GSH Corporation daripada Singapura.
Beliau berkata, industri taman tema semakin meningkat dan apabila ada pelabur luar berhasrat membangunkan taman tema di Sabah maka, diharap ia dapat direalisasikan.
“Kita harap pada masa akan datang, Sabah juga mempunyai taman tema yang setanding dengan Desaru Coast dan Legoland Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, syarikat pelabur itu juga berhasrat membangunkan sebuah resort dilengkapi dengan kemudahan hotel bertaraf lima bintang.
Walau bagaimanapun, kementerian akan meneliti terlebih dahulu cadangan untuk membangunkan resort tersebut kerana ia berada di kawasan pengurusan Taman-Taman Sabah (TTS).
“Namun, kita perlu melihat perkara ini terlebih dahulu termasuk melihat bagaimana pendekatan terbaik dalam membawa pelaburan ke tempat berkenaan kerana ia adalah kawasan taman yang dilindungi,” ujarnya.
Jafry berharap hasrat syarikat itu untuk menambah pelaburan dalam sektor pelancongan Sabah akan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Sabah.
“Ini adalah satu ruang dan peluang untuk Sabah kerana ia bukan sahaja mampu membawa masuk lebih ramai pelancong tetapi juga, membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus merancakkan lagi ekonomi negeri Sabah,” jelasnya.
Beliau berkata, itu antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Pengerusi Eksekutif, GSH Corporation, Datuk Sam Goi ketika berada di negara jiran itu baru-baru ini. – Borneo Today